Khaled Nordin ketika berucap Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang di Dewan Muafakat Taman Mawar, Pasir Gudang, hari ini.

PASIR GUDANG – Kementerian Pertahanan menubuhkan jawatankuasa siasatan mengenal pasti punca kematian seorang Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) selepas latihan di Pusat Latihan Darat (Pulada), di sini, 28 Julai lalu.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, jawatankuasa itu dianggotai tiga badan berkuasa iaitu Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pengajian Tinggi.

“Saya ingat bedah siasat pun sudah dibuat, kita belum dapat keputusan dan di peringkat ATM (Angkatan Tentera Malaysia), kita akan tubuhkan satu jawatan kuasa untuk siasat apakah punca dan sebab kematian kepada mangsa.

Semalam ibu kepada Pegawai Pelatih Palapes berkenaan, menuntut agar siasatan segera dijalankan berhubung kematian anaknya sewaktu menjalani latihan dikendalikan pasukan itu Isnin lalu.

Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, berkata, anaknya, Syamsul Haris, 22, meninggal dunia ketika menjalani latihan Palapes UTM Pulada, Lapang Sasar Inokulasi Tempur, Pulada, Ulu Tiram di sini dengan sebab kematian yang belum jelas serta meragukan.

Ibu tunggal itu berkata, pemerhatian terhadap jenazah anaknya sewaktu bedah siasat di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HIS) di Johor Bahru mendapati kecederaan teruk pada tubuh jenazah anaknya yang tidak selaras dengan maklumat awal bahawa kematian anaknya berpunca daripada sawan.

Susulan itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Yusof Othman berkata, siasatan terpecinci dan menyeluruh akan dilakukan.

Katanya, ini termasuk merakam percakapan saksi-saksi dan pegawai perubatan yang terlibat bagi mengenal pasti punca sebenar insiden tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast