KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap proses penyahsenaraian FGV Holdings Bhd daripada Bursa Malaysia pada 28 Ogos ini dapat mengembalikan syarikat itu kepada matlamat asal penubuhannya iaitu memperkasakan peneroka Felda.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan mahu keuntungan yang dijana oleh FGV selepas ini benar-benar disalurkan kepada golongan peneroka yang menjadi asas kepada kewujudan Felda.
“Maknanya Felda tidak lagi terikat. Felda bersama FGV boleh tentukan arah tuju mereka, dan beri jaminan dengan koperasi (Koperasi Permodalan Felda Bhd) supaya faedah dan kepentingan peneroka menjadi keutamaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Mega 3 Dimensi 2025 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini.
Hadir sama adalah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick dan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Jelas Perdana Menteri, pengurusan Felda dan FGV disaran melaksanakan pentadbiran secara berkesan dalam tempoh beberapa bulan pertama selepas penyahsenaraian, agar pelbagai projek berkaitan dapat dilaksanakan dengan jayanya.
“Sebaik saja hal ini diuruskan, saya bersama Ahmad Zahid dan Shabery Cheek serta rakan-rakan akan pastikan ada pengarahan yang jelas daripada kerajaan.
“FGV mesti kembali kepada matlamat asal Felda, iaitu keutamaan kepada peneroka – hak mereka, hasil mereka, dan koperasi yang mereka sendiri tentukan. Yang lain kita serah kepada Felda dan FGV untuk urus dengan baik,” tegasnya.
Karnival yang berlangsung dari 30 Julai hingga 3 Ogos ini bertemakan ‘Desaku Mendunia’, menggabungkan tiga acara besar iaitu Karnival Usahawan Desa anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Sambutan Hari Peneroka Felda oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), dan Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI)oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa penguasaan Felda ke atas 92 peratus saham FGV membolehkan agensi itu memiliki kawalan penuh dan menyusun semula struktur syarikat.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pemilikan penuh tersebut akan dimuktamadkan oleh Bursa Malaysia dan keuntungan daripadanya dijangka dapat disalurkan semula kepada warga peneroka. – MalaysiaGazette
















