Johari merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Pulai di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Barisan Nasional (BN) tidak mempunyai masalah pembahagian sekiranya bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) Sabah bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, perkara yang paling penting adalah berbincang secara harmoni untuk mengelak pertembungan kerusi.

“Yang penting jangan berlaga, kalau berlaga sesama kita yang untung orang lain. Kita pakat-pakatlah kerana ini nak bina negeri, ada tujuan dan matlamat yang sama.

“Ini bukan untuk kepentingan diri. Kita teruskan (perbincangan), ada strategi, yang penting jangan berlaga,” katanya ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Pulai di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat di sini hari ini.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Pada 27 Julai lalu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengesahkan GRS akan meneruskan kerjasama politik dengan PH Sabah bagi menghadapi PRN.

Menurut beliau, kerjasama tersebut telah dipersetujui oleh semua parti komponen dalam GRS menerusi perbincangan yang diadakan sebelum ini.

Pada 29 Julai pula, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN dan PH telah mengunci perjanjian kerjasama bagi persiapan mendepani PRN Sabah.

Ahmad Zahid berkata, keputusan itu telah dimuktamadkan, meskipun PH dan GRS telah menjalin kesepakatan bersama-sama.

Terdahulu ketika berucap, Johari berkata,
UMNO perlu bersedia dari sekarang kerana bakal berdepan PRN Sabah dan selepas itu PRN Melaka dan PRN Johor tidak lama lagi.

Katanya, pada PRN Johor yang lalu, UMNO menunjukkan prestasi cemerlang apabila berjaya mendapat 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sekali gus mendapat majoriti dua pertiga.

Beliau berharap kejayaan tersebut dapat diulang pada PRN Johor termasuk menang banyak kerusi di peringkat Parlimen pada pilihan raya umum akan datang.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast