Oh Tong Keong.

GEORGE TOWN – Parti Gerakan menyifatkan kenaikan tarif air domestik yang diumumkan secara mengejut pada 31 Julai lalu sebagai satu bentuk penindasan dan eksploitasi Kerajaan Perpaduan terhadap rakyat.

Timbalan presidennya, Oh Tong Keong berkata, pelaksanaan kenaikan itu yang berkuat kuasa serta-merta pada 1 Ogos lalu tanpa notis awal amat tidak wajar malah membebankan rakyat yang kini sudah pun terhimpit dengan pelbagai tekanan kos sara hidup.

“Kali terakhir tarif air dinaikkan ialah pada 1 Februari tahun lalu namun kali ini kerajaan melakukannya secara tergesa-gesa. Rakyat terkejut kerana tiada ruang untuk menyuarakan bantahan malah Ketua Menteri Pulau Pinang sendiri sebelum ini menyatakan tarif air hanya akan naik pertengahan tahun depan,” katanya dalam kenyataan.

Tambah Tong Keong, jika kerajaan terus menaikkan tarif air adalah lebih adil untuk memansuhkan caj minimum bulanan dan hanya mengenakan bayaran berdasarkan jumlah penggunaan sebenar.

“Mengapa syarikat pembekal air seperti Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) yang meraih keuntungan bersih lebih RM144 juta tahun lalu masih perlu menaikkan tarif.

“Air adalah keperluan asas dan telah dimonopoli. Rakyat tiada pilihan lain, maka menjadi tanggungjawab kerajaan memastikan perkhidmatan itu disediakan pada kadar mampu milik,” katanya.

Tong Keong turut mengkritik tindakan kerajaan yang didakwanya sering menggembar-gemburkan bantuan seperti RM100 yang hanya dikreditkan hujung bulan sedangkan tarif air dinaikkan serta-merta tanpa makluman awal.

“Sejak Kerajaan Perpaduan mentadbir, pelbagai subsidi dikurangkan, kadar SST dinaikkan, tarif elektrik dan cukai tanah turut meningkat sekaligus menambah tekanan kepada rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast