BAITULMAQDIS – Sayap ketenteraan Kumpulan Hamas, Briged al-Qassam sedia untuk membenarkan Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) menghantar bantuan kepada tahanan Israel di Gaza.
Jurucaka Briged al-Qassam, Abu Ubaidah berkata, bagaimanapun ia bergantung kepada Israel untuk membuka koridor kemanusiaan secara kekal selain perlu berhenti melakukan serangan udara semasa tempoh penghantaran tersebut.
Katanya, mereka diberi makan apa yang pejuang dan penduduk Palestin makan.
Tambah beliau, pihaknya bersedia untuk bertindak balas secara positif terhadap sebarang permintaan ICRC untuk menghantar makanan dan ubat-ubatan kepada tahanan Israel di Jalur Gaza.
Abu Ubaidah menyatakan penghantaran seumpama itu hanya berlaku jika Iarael memudah cara aliran bantuan kemanusiaan ke Gaza.
“Kemasukan makanan kepada tahanan memerlukan pembukaan koridor kemanusiaan dan perubatan secara normal dan tetap kepada semua orang di semua kawasan Jalur Gaza,” katanya menerusi kenyataan.
Menurut Abu Ubaidah, tiada layanan istimewa diberikan kepada tahanan Israel ketika penduduk Palestin berhadapan dengan kebuluran serta kepungan.
Tambah beliau, tahanan Israel tidak dibiarkan kelaparan secara sengaja dan mereka diberi makan apa yang pejuang dan penduduk Palestin makan.
Terdahulu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu meminta bantuan komuniti antarabangsa dan ICRC untuk campur tangan dan menyediakan makanan dan penjagaan kesihatan kepada tahanan Israel yang ditawan Kumpulan Hamas.
Beliau menafikan laporan tentang kebuluran yang meluas di Gaza dan menuduh Kumpulan Hamas membiarkan tahanan Israel kelaparan secara sistematik.
Permintaan Netanyahu itu dilakukan berikutan rakaman video yang disiarkan Briged al-Qassan dan Briged al-Qud baru-baru ini memaparkan dua tahanan Israel, Eviatar David dan Rom Braslavsky, berada dalam keadaan kesihatan tidak memuaskan berikutan kelaparan.
Rakaman itu dilakukan ketika Israel melaksanakan sekatan berterusan di Gaza dan ia menimbulkan kemarahan di negara penceroboh itu.
Demonstrasi diadakan di Tel Aviv dengan ahli keluarga tahanan Israel mendesak agar pertukaran tahanan dilakukan. – Agensi
















