KUALA LUMPUR – Seramai 26 pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dibuang kerja tahun lalu selepas didapati terbabit dalam salah laku rasuah di pintu masuk negara termasuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, jumlah itu meningkat berbanding hanya lapan pegawai yang dikenakan tindakan sama di bawah Peraturan 37 pada tahun 2023.
Sementara itu, kata beliau, pada tahun lalu juga, seramai 50 pegawai JIM berdepan siasatan berhubung dakwaan terlibat dalam sindiket ‘phantom travel’ seperti yang dilaporkan secara meluas oleh media sebelum ini.
Jelasnya, kesemua kes itu sedang ditangani oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan dua kes sudah dituduh di mahkamah.
Bakinya, ujar beliau, ada yang disyorkan oleh SPRM untuk turut dituduh di mahkamah; dikenakan siasatan dalaman serta siasatan kertas tatakelola.
“Yang dilaporkan ini adalah tindakan yang telah kita ambil tidak kira siapa sekali pun mereka, sebab kita memang tidak bertoleransi terhadap perbuatan jijik (rasuah) seperti ini,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Saifuddin Nasution berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN–Besut) berhubung status siasatan dan tangkapan terhadap pegawai JIM yang terlibat dalam kegiatan kaunter `setting’ khususnya di KLIA yang dilaporkan sejak 2023.
Sementara itu, kepada soalan tambahan Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya) berkenaan tindakan yang diambil terhadap pegawai JIM yang disyaki melakukan salah laku rasuah, Saifuddin Nasution menjelaskan, terdapat beberapa proses yang diamalkan KDN bagi mendepani kes seperti itu ketika ini.
Jelasnya, sekiranya terdapat prima facie dalam kes melibatkan pegawai yang didakwa terbabit rasuah hasil risikan dan siasatan dalaman, pegawai berkenaan akan dirujuk kepada Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 kususnya Peraturan 36 dan 37.
Ujarnya, antara syor tindakan yang dicadangkan di bawah peraturan itu termasuk melibatkan amaran, denda, lucut hak emolument, penangguhan atau penurunan gaji sehinggalah kepada pemecatan.
“Jika ada unsur rasuah dan jenayah lain, maka siasatan dalaman agensi ini akan dirujuk kepada SPRM dan polis.
“Sementara siasatan itu dibuat, mereka yang terlibat akan dipindahkan ke unit atau bahagian lagi yang kurang berisiko sambil menunggu siasatan yang sedang berjalan,” katanya.
Sementara itu, berhubung isu sama, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Md Nor turut mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan memberi ganjaran kepada pegawai JIM yang menyalurkan maklumat berhubung kegiatan rasuah yang dilakukan dalam kalangan pegawai lain. – MalaysiaGazette
















