KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memulakan pelaksanaan sistem autogate secara besar-besaran di pintu masuk negara bermula Disember ini dalam usaha memperkukuh kawalan sempadan dan membanteras kegiatan manipulasi imigresen seperti sindiket flying passport, counter setting, dan phantom travellers.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sebanyak 635 unit autogate akan dipasang di 123 pintu masuk di bawah seliaan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) secara berperingkat menjelang Mac 2028.
Pelaksanaan sistem autogate ini akan mengurangkan kebergantungan kepada budi bicara pegawai barisan hadapan dan menggantikan sepenuhnya proses pemeriksaan manual.
“Bermula Disember ini, kita akan ada autogate di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Johor, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan 2, Lapangan Terbang Kuching, Lapangan Terbang Kota Kinabalu dan Lapangan Terbang Pulau Pinang.
“Saringan keluar masuk pengembara akan dilaksanakan secara digital sepenuhnya tanpa membabitkan interaksi manusia.
“Ini adalah langkah ke hadapan bagi mengelakkan manipulasi dan salah guna kuasa di pintu masuk negara,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Saifuddin berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Lee Chean Chung (PH–Petaling Jaya) berhubung usaha kerajaan menangani gejala penyelewengan dan rasuah dalam isu sindiket keluar masuk seperti u-turn dan pemalsuan dokumen perjalanan yang mencemarkan imej negara.
Menurutnya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengamalkan dasar ‘tiada toleransi’ terhadap sebarang salah laku dan manipulasi sistem sempadan negara.
“Mereka yang menggunakan manipulasi ini biasanya terdiri daripada suspek atau individu dikenakan sekatan keluar negara oleh Jabatan Penjara, Insolvensi, PDRM, SPRM, mahkamah, LHDN dan Kastam,” tambahnya.
Selain sistem autogate, KDN turut akan memperkenalkan penggunaan 614 kamera badan kepada anggota penguat kuasa di lapangan bermula September ini, sebagai langkah kawalan integriti tambahan.
“Perolehannya sedang diurus dan ini akan bantu mengurangkan ruang untuk salah laku serta meningkatkan prestasi perkhidmatan di lapangan,” katanya.
Dalam masa yang sama, sistem Saringan Penumpang Awal akan diperkenal hujung tahun ini melibatkan 10 syarikat penerbangan utama yang membolehkan maklumat penumpang dikesan lebih awal sebelum tiba di negara ini.
KDN juga telah menganjurkan sebanyak 185 kursus kesedaran dan latihan antirasuah melibatkan agensi-agensi berkaitan, selaras dengan Pelan Antirasuah Imigresen.
“Kita laksanakan pendekatan menyeluruh dari teknologi, latihan, pemantauan dan kolaborasi strategik dengan pelbagai agensi,” jelas Saifuddin. – MalaysiaGazette
















