KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah memulakan siasatan terhadap penyebaran sebuah video yang memaparkan tindakan sekumpulan individu dipercayai pempengaruh media sosial memberi sisa makanan kepada seorang gelandangan.
MCMC dalam kenyataan memaklumkan, siasatan itu dijalankan susulan aduan orang ramai yang mempersoalkan etika serta niat di sebalik penerbitan kandungan tersebut.
Suruhanjaya itu menegaskan, pihaknya memandang serius terhadap sebarang tindakan menghasilkan dan menyebarkan kandungan yang mengeksploitasi golongan terpinggir semata-mata untuk hiburan murahan, menjana tontonan serta menimbulkan keresahan awam.
“Penyebaran kandungan yang merendahkan atau menghina maruah individu bukan sahaja tidak beretika, malah mendorong kepada normalisasi budaya tidak berperikemanusiaan dalam masyarakat,” tegasnya.
Menurut MCMC, siasatan terhadap kandungan tersebut sedang dijalankan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah.
Orang ramai juga diingatkan agar tidak memuat naik atau menyebarkan sebarang kandungan berunsur provokasi yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.
“Sebarang perkongsian kandungan jelik melampau, palsu atau berunsur ancaman boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 [Akta 588].
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM500,000, dipenjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali,” kata kenyataan itu lagi.
MCMC turut menegaskan komitmennya dalam memastikan ruang siber tidak disalahgunakan, selaras dengan usaha mengekalkan kedaulatan undang-undang serta keharmonian masyarakat.
Semalam MalaysiaGazette melaporkan, tindakan tiga individu yang merupakan pencipta kandungan (content creator) di media sosial yang menerima kecaman hebat daripada netizen kerana menghasilkan rakaman yang dianggap melampau dan biadab.
Semua itu gara-gara ketiga-tiga individu terbabit cuba membuat lawak dengan cara meletakkan tulang ayam di dalam bungkusan nasi yang diberikan kepada seorang gelandangan.
Berdasarkan gambar-gambar yang dikongsikan seorang pengguna laman sosial yang menggunakan nama kyrelakmal, ketiga-tiga mereka yang memuat naik kandungan berkenaan di laman Instagram aluk_777 pada mulanya makan ayam goreng di sebuah restoran makanan segera.
Bagaimanapun, mereka kemudiannya meletakkan tulang ayam di dalam bungkusan nasi lalu memberikan bungkusan itu kepada seorang insan berkenaan. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Beri gelandangan makan nasi dan tulang, pencipta kandungan dikecam hebat di alam maya
















