Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim.

KUALA LUMPUR – Wang simpanan rakyat bernilai lebih RM183 juta lesap dalam satu lagi episod penipuan pelaburan palsu melibatkan 12 syarikat berbeza.

Berikutan itu, Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menuntut siasatan segera oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas pihaknya menerima sebanyak 685 aduan daripada mangsa yang mendakwa terperdaya dengan skim pelaburan Pra-IPO RPS dan i-RPS.

Menurut Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim, sindiket terbabit menggunakan pelbagai pendekatan profesional untuk memancing kepercayaan mangsa termasuk memperkenalkan pelaburan dalam saham utama yang kononnya menjanjikan pulangan lumayan.

“Pada peringkat awal, pelabur diberikan dividen yang tinggi bagi menimbulkan keyakinan, namun selepas beberapa bulan, pembayaran dihentikan secara tiba-tiba dan pelbagai alasan diberikan,” katanya selepas menyerahkan laporan rasmi kepada SPRM hari ini.

Beliau mendedahkan beberapa syarikat didakwa menggunakan dokumen palsu serta penjelasan teknikal yang direka bagi mengaburi pelabur, termasuk penstrukturan dalaman yang tidak wujud.

Jelasnya, apa yang lebih membimbangkan, ramai pelabur termasuk pesara, kakitangan awam, suri rumah dan golongan profesional hanya menyedari mereka ditipu selepas mendapati dokumen pegangan saham mereka tidak sah atau tidak diiktiraf oleh mana-mana pihak berautoriti.

“Modus operandi mereka sangat licik dan terancang. Ini bukan kes terpencil sebaliknya satu bentuk penipuan berskala besar yang perlu dipandang serius oleh pihak berkuasa,” tegas Hishamuddin.

Dakwanya, MHO percaya kes ini melibatkan unsur penipuan dan pemalsuan maklumat yang boleh disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan menggesa pihak SPRM mengambil tindakan segera demi melindungi kepentingan awam.

Beliau kecewa apabila beberapa laporan polis yang telah dibuat sebelum ini masih tidak menunjukkan perkembangan bermakna, menyebabkan ramai mangsa terkapai-kapai tanpa pembelaan.

“Mangsa bersedia memberi kerjasama penuh dan telah menyediakan segala dokumen berkaitan. Mereka hanya mahu keadilan ditegakkan dan wang yang hilang dapat diperjuangkan semula,” tambahnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast