KUALA LUMPUR – Insiden pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik tidak boleh dianggap sebagai satu kesilapan kecil atau teknikal yang boleh dimaafkan.
Ketua Wira Perkasa Malaysia, Bozz Jebat nama sebenarnya Zool Amali Husin menyelar kenyataan Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Woo Kah Leong yang didakwanya cuba meremehkan insiden itu dengan alasan ‘tiada siapa yang sempurna’ sedangkan ia melibatkan soal maruah dan kedaulatan negara.
“Ini bukan isu remeh atau sekadar kesilapan teknikal yang boleh disapu ke bawah karpet. Ini adalah isu melibatkan kedaulatan dan maruah negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Bozz Jebat, tindakan mengibarkan bendera secara terbalik bukan sahaja memalukan malah mencerminkan kejahilan terhadap simbol kebangsaan yang sepatutnya menjadi kebanggaan setiap warganegara.
“Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum dan budaya, tetapi jangan kita lupa – tanah ini asalnya bernama Tanah Melayu, dan Jalur Gemilang adalah lambang kedaulatan serta penyatuan negara ini sejak merdeka,” tegasnya.
Justeru, beliau mendesak kerajaan supaya tidak berlembut dan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang perbuatan tidak sensitif atau sikap acuh tak acuh terhadap simbol negara.
“Sekiranya ada rakyat yang gagal memahami asas perlembagaan, sejarah, dan lambang negara, maka wajarlah dipertimbangkan penarikan hak kewarganegaraan mereka,” katanya.
Malah Bozz Jebat turut menegaskan isu itu bukan sekadar berkisar tentang bendera terbalik, sebaliknya menyentuh persoalan jati diri dan kesetiaan rakyat terhadap tanah air.
Hari ini, seorang pemimpin DAPSY, Yap Yee Vonne mendesak Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh memohon maaf secara terbuka bukan hanya kepada parti itu tetapi juga kepada seluruh komuniti orang kelainan upaya (OKU) di Malaysia.
Yee Vonne mendakwa Dr Akmal telah menyinggung perasaan dan menghina komuniti OKU secara langsung susulan kenyataan terbarunya apabila meminta supaya diberikan cermin kepada komuniti itu.
Terdahulu, media melaporkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chung Hua, memohon maaf secara terbuka kepada seluruh masyarakat melalui satu kenyataan yang dikongsikan Lembaga Pengelola, Persatuan Ibu Bapa dan Guru. – MalaysiaGazette
















