Mohd Khalid Ismail

KUALA LUMPUR – Semua pihak dinasihat menghentikan sebarang tindakan memuat naik atau berkongsi maklumat tidak sahih berkaitan kes kematian Allahyarham Zara Qairina.

Nasihat itu dikeluarkan selepas polis mengesan penyebaran maklumat serta gambar kanak-kanak yang dikaitkan dengan kes itu yang dikongsi oleh pihak tertentu di media sosial.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, maklumat yang dikongsi adalah tidak tepat dan berpotensi mengelirukan orang awam.

Malah, boleh menjejaskan perjalanan siasatan yang sedang berlangsung dan mengganggu keadilan kepada semua pihak.

“Untuk makluman, segala proses siasatan termasuk isu bedah siasat dijalankan mengikut prosedur dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

“Sehubungan itu, semua pihak dinasihatkan untuk menghentikan sebarang tindakan memuat naik atau berkongsi maklumat yang tidak sahih, termasuk pendedahan maklumat berkaitan siasatan kes ini,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Mohd Khalid menegaskan, perbuatan tersebut merupakan satu kesalahan di bawah peruntukan Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 – larangan mendedahkan maklumat identiti, alamat, nama sekolah, dan gambar kanak-kanak yang terlibat; Seksyen 203A Kanun Keseksaan – kesalahan berkaitan pendedahan maklumat; dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 – penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian
atau perkhidmatan rangkaian.

Oleh itu, polis menasihatkan, pematuhan kepada undang-undang adalah asas kepada keamanan dan kesejahteraan negara.

Sehubungan itu, sebarang pelanggaran akan dikenakan tindakan tegas mengikut peruntukan sedia ada. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast