IPOH – Seorang wanita maut selepas dipercayai membakar diri sendiri menggunakan minyak tanah dalam kejadian berhampiran sebuah pusat beli belah di Klebang di sini malam tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pukul 11.26 malam memaklumkan terdapat seorang wanita disyaki membakar diri berhampiran pusat beli belah berkenaan.
“Setibanya sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh di lokasi kejadian, mereka menemui seorang wanita berusia 40 tahun telah mengalami kesan melecur sehingga 80 peratus pada tubuh badan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut berada di lokasi,” katanya.
Beliau berkata, bomba kemudiannya melakukan pemadaman terhadap sisa kebakaran sebelum menyerahkan mangsa kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi terkawal pukul 12.10 tengah malam dan tamat sepenuhnya 13 minit kemudian,” ujarnya – MalaysiaGazette














