Mas Imran dan Faridah menyampaikan sumbangan kepada Abdul Rahim di rumah ditumpangi mereka di Jalan Seelong Jaya, Johor Bahru, hari ini

JOHOR BAHRU – Tujuh beranak terpaksa menceroboh rumah terbiar berhampiran Jalan Seelong Jaya di sini dan tinggal di situ sejak dua bulan lalu akibat dihalau tuan rumah lama mereka kerana tidak mampu membayar tunggakan sewa.

Noor Sawatry Dinar, 40, dan suami, Abdul Rahim Mohamed Yunos, 54, yang menghadap strok tidak mempunyai pilihan lain bagi meneruskan hidup.

Keputusan itu terpaksa dilakukan selepas buntu sejurus keluar dari rumah sewa lama di Jalan Banjaran, Kempas di sini kerana tidak mampu membayar sewa bulanan RM700 selain tunggakannya.

“Saya tidak fikir panjang, teringat rumah terbiar ini berhampiran Jalan Seelong Jaya yang terletak tidak jauh dari bengkel membaiki motosikal yang pernah diusahakan suami sebelum Covid-19.

“Saya nekad membawa anak-anak dan suami yang terbatas pergerakannya ke rumah ini dengan menaiki teksi dan anak-anak membantu memapahnya.

“Memang rumah ini dalam keadaan buruk kerana sudah lama terbiar, saya dan anak-anak mengambil masa lebih lima jam membersihkannya. Kami bersyukur kerana sekurang-kurangnya ada tempat tinggal.

“Kami memohon maaf kepada pemilik rumah ini,” katanya ketika ditemui selepas menerima sumbangan barangan dapur bernilai RM1,000 daripada Pasaraya Econsave dan wang tunai sumbangan Pertubuhan Kebajikan Ehsan Penyayang.

Sumbangan tersebut disampaikan Pengurus Besar Pasaraya Econsave, Mas Imran Adam dan wang tunai disampaikan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Ehsan Penyayang, Faridah Mustafa.

Hadir sama, Pegawai Penyiasat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) Johor Bahru, Zaki Adon.

Sawatry berkata, rumah berkenaan memiliki kemudahan bekalan air serta terdapat beberapa perabot namun tiada bekalan elektrik dan keluarganya bergantung dengan lilin pada waktu malam.

Pada masa sama, katanya, sudah hampir dua bulan anak-anaknya tidak pergi ke sekolah kerana tidak berkemampuan untuk menghantar mereka meneruskan pelajaran.

“Empat anak saya yang bersekolah berusia antara lapan hingga 14 tahun manakala anak berusia 16 tahun sudah lama tidak bersekolah.

“Untuk meneruskan hidup kami hanya memakan apa yang ada, lauk biasanya saya hanya memetik sayur di sekitar kawasan ini untuk dijadikan sup,” katanya.

Sawatry berkata, suaminya sebelum ini bekerja di sebuah kilang membuat batu di Seelong sebelum dua kali diserang strok pada Januari dan pertengahan Mei lalu hingga terpaksa dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) selama seminggu.

Dia berkata, ketika diserang strok kali pertama, suaminya masih boleh bergerak dan bekerja apabila diserang kali kedua sudah tidak dapat bekerja sekali gus hilang punca pendapatan.

“Saya tidak pasti berapa lama lagi terpaksa menghuni di rumah ini. Memang kami bimbang keselamatan anak-anak terutama perempuan kerana kawasan ini sunyi dan berharap ada pihak yang membantu.

“Malah kami juga bimbang dengan masa depan mereka,” katanya.

Orang ramai yang ingin meringankan beban keluarga berkenaan boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun bank Bank Simpanan Nasional (BSN) milik Abdul Rahim 0113641100075773.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Khairin-Nisa Ismail berkata, keluarga berkenaan bakal menerima bantuan bulanan RM800 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mulai Ogos ini.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast