KUALA LUMPUR – Seorang jurutera maut selepas motosikal yang ditungangi terlibat dalam kemalangan dengan sebuah treler di Lebuh raya Cheras-Kajang (arah Kajang), pada jam 6 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, akibat pelanggaran tersebut, penunggang motosikal hilang kawalan lalu terjatuh ke atas permukaan jalan dan cedera parah.
“Mangsa warga tempatan berusia 40 tahun yang bekerja sebagai jurutera disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Naazron berkata, pemandu treler warga tempatan berumur 28 tahun itu mempunyai tujuh rekod saman telah ditahan untuk siasatan lanjut.
Kes kini disiasat dibawah Seksyen. 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak lebih daripada RM50,000 dan boleh dipenjarakan selama tempoh tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 10 tahun jika disabitkan kesalahan.
Beliau meminta individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian untuk berhubung dengan pegawai penyiasat Inspektor Narolhisyam Endi di talian 019-5897115.
Naazron menasihatkan pengguna jalan raya supaya mengamalkan pemanduan yang berhemah, sentiasa mematuhi peraturan jalan raya dan berhati-hati ketika memandu. – MalaysiaGazette
















