Poster terbaru senarai ta yang an filem ‘Coolie’ seluruh Malaysia yang dikeluarkan hari ini. GSC tidak tersenarai dalam senarai ini.

KUALA LUMPUR – Menjelang tayangan global filem mega aksi-thriller Tamil Coolie lakonan legenda Rajinikanth, rangkaian pawagam terbesar negara, Golden Screen Cinemas (GSC) dikatakan tidak menyenaraikan filem itu untuk tayangan di mana-mana cawangannya setakat ini.

Situasi itu menimbulkan persoalan besar dalam kalangan peminat dan penggiat industri perfileman tempatan memandangkan Coolie merupakan antara filem paling dinantikan tahun ini dan dijangka mencatat kutipan pecah panggung jutaan ringgit.

Filem arahan Lokesh Kanagaraj dan terbitan Sun Pictures  merupakan filem ke-171 Rajinikanth sebagai pelakon utama telah mencetuskan gelombang keterujaan dalam kalangan peminat sejak pengumuman poster dan treler rasmi.

Tayangan rasmi di Malaysia dijadualkan bermula 14 Ogos ini seiring dengan tayangan global.

Sementara pawagam-pawagam utama seperti TGV Cinemas, LFS Cinemas, MBO Cinemas, Paragon, Dadi Cinemas dan lain-lain telah menyusun tayangan awal pagi bagi memenuhi permintaan namun dikatakan GSC tidak tersenarai langsung.

Ia sekaligus mencetuskan tanda tanya besar dalam kalangan peminat filem Tamil.

Seorang sumber industri berkata, keputusan GSC itu agak sukar difahami memandangkan populariti luar biasa Rajinikanth merentas kaum dan negara.

“Anda tengok senarai itu, kita sendiri tidak faham mengapa. Walhal ini bukan filem calang-calang. Peminat Rajinikanth ramai dalam kalangan Melayu, India, Cina dan warga asing. Ia filem berskala global dan pasti memberi impak kutipan tinggi,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Poster filem ‘Coolie’ lakonan pelakon lagenda India, Rajinikanth. Syarikat pengedaran filem tempatan, Malik Streams Corporation berjaya memperoleh hak tayangan di Malaysia pada Ogos depan.

Lebih menarik, tinjauan di media sosial mendapati ramai peminat mempersoalkan perkara yang sama secara terbuka di laman rasmi GSC selepas senarai tayangan rasmi dikeluarkan minggu ini.

Ada yang menyatakan rasa kecewa, ada yang menyoal alasan sebenar dan tidak kurang juga yang meminta GSC mempertimbangkan semula keputusan mereka kerana filem berkenaan mempunyai peminat yang sangat besar di negara ini.

Di Malaysia, hak pengedaran eksklusif filem itu diperoleh Malik Streams Corporation dan pengasasnya, Datuk Abdul Malik Dashtigeer memaklumkan filem itu dibeli pada harga RM6 juta dengan sasaran kutipan mencecah RM60 juta di pasaran tempatan.

Dengan lebih 90 pawagam di seluruh negara menyertai tayangan, filem yang sama dijangka mencetuskan fenomena tersendiri di kalangan penonton tempatan.

Namun, ketiadaan GSC dijangka memberi kesan dari segi akses, khususnya buat peminat di kawasan bandar yang hanya mempunyai cawangan GSC berhampiran.

MalaysiaGazette sudah menghubungi GSC namun sehingga artikel ditulis, pihak itu masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai keputusan tidak menyertakan filem Coolie dalam senarai tayangan mereka. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Malik Streams peroleh hak tayangan filem Coolie di Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast