Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja'afar.

KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan kira-kira RM300,000 barangan berharga telah dilarikan sekumpulan penjenayah yang menceroboh rumah saksi utama dalam perbicaraan kes rasuah membabitkan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di Jalan Gasing dekat sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar yang mengesahkan perkara itu berkata, pihaknya juga kini sedang menganalisa rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

“Penyiasat kini sedang menjalankan siasatan menerusi CCTV untuk mengenal pasti kesemua suspek yang terlibat dan mengumpul semua rakaman dari rumah yang dipecah masuk termasuk kawasan sekitarnya.

“Mangsa juga memaklumkan nilai barangan berharga yang dilarikan dalam kejadian itu sekurang-kurangnya RM300,000,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan polis memburu sekumpulan penjenayah bersenjatakan parang dengan memakai penutup muka memecah masuk rumah saksi utama dalam perbicaraan kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang itu.

Shahrulnizam memaklumkan, pihaknya menerima maklumat kejadian pukul 7.20 pagi pada 5 Ogos lalu melalui Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

“Penjenayah itu melarikan barangan berharga yang disimpan di dalam peti besi dan melarikan diri menggunakan laluan hutan di bahagian belakang rumah.

“Mangsa cedera pada bahagian bibir dan bengkak di muka serta luka pada tangan akibat libasan parang manakala mangsa kedua dan ketiga iaitu pengawal keselamatan cedera di muka akibat ditumbuk.

“Sementara mangsa keempat iaitu pemandu peribadi cedera di muka akibat ditumbuk dan terdapat kesan merah pada tangan akibat diikat menggunakan kabel pengikat,” katanya.

Susulan itu kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan menggunakan senjata dan usaha memburu suspek sedang dijalankan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Saksi penting kes Guan Eng cedera diserang 10 individu

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast