Hajiji Noor

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Sabah meletakkan keyakinan kepada pihak berkuasa untuk membuat siasatan secara telus dan menyeluruh agar keadilan dapat ditegakkan buat Zara Allahyarhamah Zara Qairina Matahir dan keluarganya.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kes kematian pelajar tingkatan satu ini bukan sahaja menyentuh perasaan rakyat di Sabah, malah mendapat perhatian luas di seluruh negara termasuk dari negara jiran.

“Ini jelas menunjukkan keadilan untuk adik Zara adalah tuntutan bersama yang merentasi sempadan dan perbezaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ini merupakan kenyataan pertama Hajiji sejak kes kematian Allahyarham Zara Qairina mendapat liputan meluas di negara ini.

Beliau berkata demikian susulan keputusan AGC yang berpendapat ada keperluan untuk siasatan lanjut kes kematian Allahyarham diambil semula oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Hajiji menyambut baik kenyataan terkini daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) yang telah mengeluarkan arahan lanjut siasatan kes kematian Allahyarham Zara Qairina.

Arahannya termasuk keperluan untuk menggali semula mayat Zara Qairina bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas jenazah.

Beliau seterusnya menyeru masyarakat agar terus bertenang dan tidak terpengaruh dengan sebarang spekulasi, serta memberi ruang dan kepercayaan kepada pihak berkuasa dalam proses undang-undang yang sedang berjalan.

Hajiji juga berkongsi hashtag #JusticeForZara yang ketika ini menjadi simbol solidariti ramai dalam menuntut keadilan bagi kanak-kanak tersebut, tercermin luas di media sosial.

Semalam, lebih 1,000 orang membanjiri sekitar dataran Harbour Mall, di Sabah  untuk menghadiri aksi ‘vigil’ bagi menuntut keadilan terhadap remaja itu.

Penganjur Sekretariat Solidariti Zara, Mohamad Kadir Abdul Jalil, berkata program itu sebagai tanda solidariti dan simpati terhadap keluarga Zara, di samping menuntut kebenaran di sebalik kejadian menimpa pelajar itu dapat dibuktikan.

Turut hadir Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Elopura Calvin Chong Ket Kiun.

Selain Sandakan, aksi vigil itu turut dilakukan di beberapa lokasi di negeri ini termasuk Tawau dan Lahad Datu.

Pada 16 Julai lalu, Zara Qairina, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Papar, ditemui ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama pada jam 4 pagi.

Pelajar itu disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I di Kota Kinabalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast