KUALA LUMPUR – Pimpinan UMNO di semua bahagian terutama di Selangor dinasihatkan agar tidak terlalu memikirkan langkah Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz yang meninggalkan parti itu untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Sebaliknya usaha perlu dilakukan untuk menguatkan parti serta membina semula keyakinan rakyat kepada parti daripada memikirkan golongan yang mungkin mempunyai kepentingan politik, kata Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Arman Azha Abu Hanifah.
Beliau berkata, pengunduran bekas Ketua UMNO Bahagian Kota Raja itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan apatah lagi beliau bukan pimpinan dari akar umbi.
“Kalau sesiapa yang mengenali Zafrul ini ini dipilih oleh parti…maknanya dia tak merasa budaya pasang bendera, budaya berpanas dia tak pernah rasa.
“Jadi, bagi saya apabila beliau menyatakan untuk meninggalkan UMNO dan Barisan Nasional untuk pergi join PKR ikut dialah…dia bukan pemimpin akar umbi.
“Lebih baik kita memikirkan kekuatan parti kita, kita terus membina semula keyakinan rakyat kepada UMNO daripada memikirkan golongan-golongan yang nak memikirkan parti mungkin disebabkan kepentingan politik mereka.
“Bagi saya, biarlah mereka meninggalkan UMNO,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan suai kenal Karnival Permotoran Gempa Bumi anjuran Violent Storm Motorcycle Group (VSMG) di sini hari ini.
Semalam, Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri mengesahkan permohonan keahlian beliau menyertai parti PKR telah diterima dua minggu lepas.
Perkara itu turut disahkan Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh yang dilaporkan berkata, permohonan Tengku Zafrul diluluskan Majlis Pimpinan Pusat PKR dalam mesyuarat pada 26 Julai lalu.
Terdahulu, Tengku Zafrul pada 30 Mei lalu mengumumkan peletakan jawatannya dalam UMNO dan menyatakan niat untuk menyertai PKR.
Sementara itu ketika ditanya mengenai kekesalan pimpinan UMNO terutama Sayap Wanita UMNO yang berpandangan penerimaan Tengku Zafrul perlu dipandang serius oleh parti, Arman Azha berkata, perkara itu biar dibincangkan oleh pimpinan tertinggi parti.
Katanya, meskipun apa yang berlaku mengguris perasaan pimpinan dalam parti namun sebagai sebuah parti yang berpegang kepada prinsip setiakawan dan hormat menghormati, serahkan sahaja ia kepada pimpinan tertinggi untuk dirungkaikan.
“Sudah tentu ia terguris juga perasaan pimpinan UMNO dan BN…tapi saya memikirkan dari konteks yang berbeza, saya berpegang kepada prinsip dinamik dan progresif.
“Biarlah pimpinan negara terutamanya TPM (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) berbincang dengan PMX tentang apa yang berlaku sebab kalau kita di pimpinan bawah ini terikut dengan naratif yang dimainkan perkara ini tidak sihat akhirnya hanya akan merugikan Kerajaan Madani yang ada pada hari ini.
“Lebih baik kita fokus cari kekuatan semula untuk parti…apa yang berlaku hari ini biarlah pucuk pimpinan bincangkan tentang penerimaan Tengku Zafrul sebagai ahli PKR,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















