Dr Teo Kok Seong

KUALA LUMPUR – Mana-mana individu yang dengan sengaja mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik perlu dilucutkan kerakyatan.

Pakar bahasa dan perpaduan, Prof Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, perbuatan itu bukan sahaja tindakan biadab, malah satu bentuk provokasi melampau terhadap rakyat dan negara ini.

Jelasnya, perbuatan itu terus berulang saban tahun di sebalik tindakan undang-undang yang diambil sebelum ini, sekali gus memerlukan satu bentuk hukuman lebih keras termasuk menarik balik kewarganegaraan pelakunya.

“Perbuatan mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik secara sengaja ini adalah cubaan menghasut atau provokasi yang dilakukan secara terang-terangan.

“Saya kira perbuatan yang begitu biadab dan tidak nasional sebegini perlu dinoktahkan segera.

“Sudah pasti ada syarat-syarat yang membolehkan kerakyatan individu yang melakukan perbuatan seperti ini untuk dilucutkan kerakyatan mereka,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Kok Seong yang juga Felo Majlis Professor Negara (MPN) ditanya berkenaan tindakan dua lelaki dipercayai pekerja sebuah kedai perkakasan di Kepala Batas, Pulau Pinang yang bertindak memasang dan mengibarkan bendera Malaysia secara terbalik.

Perbuatan mereka itu dirakam dan tular di media sosial hari ini, sekali gus mengundang kemarahan banyak pihak yang menggesa tindakan tegas diambil terhadap pelaku berkenaan.

Sementara itu, mengulas kejadian di Pulau Pinang tersebut, Kok Seong berkata, tidak ada sebarang alasan boleh diberikan dua individu berkenaan memandangkan mereka secara sedar melakukan perbuatan menghina Jalur Gemilang tersebut.

Berbeza dengan kes-kes sebelum ini, ujarnya, permohonan maaf masih boleh diterima kerana melibatkan kesilapan teknikal seperti penggunaan teknologi dan tidak dilakukan secara sedar oleh pelakunya.

“Tetapi kesalahan yang dilakukan dua individu adalah secara terang-terangan dan tiada unsur kecuaian, mereka sendiri yang memasang dan mengibarkannya secara terbalik,” katanya.

Dalam masa sama, Kok Seong turut mempersoalkan mengapa dalam kebanyakan kes melibatkan penghinaan terhadap Jalur Gemilang, ia dilakukan oleh kaum Cina.

Menyifatkannya sebagai `pesalah berulang’, kata beliau, maka seharusnya hukuman berat dikenakan ke atas pelakunya seperti mana yang akan diputuskan oleh mahkamah terhadap `pesalah berulang’ dalam mana-mana kes lain. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast