KUALA LUMPUR – Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menafikan penunggang motosikal akan dikenakan tol dengan pelaksanaan Pengecaman Nombor Plat Automatik (ANPR).
Sebaliknya, menurut LLM, tiada perubahan terhadap kategori kenderaan yang dikenakan tol pada masa ini, termasuk penunggang motosikal.
Lembaga tersebut menyatakan demikian bagi mengulas hantaran bertajuk “Penunggang motosikal boleh merasai pengalaman membayar tol mulai Oktober 2025 ini’ di laman media sosial yang didapti mengelirukan.
LLM berkata, hantaran tersebut mengandungi maktumat tidak tepat yang boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan pengguna lebuh raya, khususnya penunggang motosikal serta menjejaskan reputasi kerajaan, Kementerian Kerja Raya (KKR), LLM dan syarikat konsesi lebuh raya.
“Oleh itu, posting yang dimuat naik oleh ebidmotor adalah tidak benar, mengelirukan dan boleh mencetuskan kebimbangan yang tidak berasas dalam kalangan penunggang motosikal” katanya menerusi kenyataan.
Hantaran tersebut dimuat naik di laman Facebook, Instagram milik akaun ebidmotor semalam.
Jelasnya, syarikat konsesi lebuh raya, PLUS Malaysia Berhad kini sedang menjalankan ujian sistem tol terbuka menggunakan teknologi Pengecaman Nombor Plat Automatik (ANPR).
“Sekiranya ujian ini berjaya, pelaksanaan akan dibuat secara berperingkat di lebuh raya kendalian PLUS Malaysia Berhad,” ujarnya.
Katanya, objektif utama pelaksanaa sistem ini adalah untuk melancarkan aliran trafik, meningkatkan keselesaan pengguna dan mengurangkan kesesakan di plaza tol.
Berikutan tu, LLM meminta orang ramai, khusus pengguna lebuh raya bertol, agar tidak mempercayai atau menyebarkan maklumat palsu yang mengelirukan atau bersifat hasutan. – MalaysiaGazette
















