Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir. -Foto: SUMBER MEDIA SOSIAL

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (KONGRES) menasihati semua pihak khususnya netizen supaya berhenti mencetuskan pelbagai teori dan menyebarkan spekulasi tidak berasas berkait kes Zara Qairina Mahathir.

Setiausaha Agungnya, Mohd Azizee Hasan berkata, teori dan spekulasi menerusi media sosial itu bukan sahaja mengganggu proses siasatan, malah berpotensi mencemarkan imej serta maruah mangsa dan keluarga.

Menurut beliau, maklumat palsu yang disebarkan berkaitan kematian Zara Qairina juga perlu dihentikan bagi memastikan emosi para guru, pelajar dan warga sekolah dalam keadaan baik dan sejahtera.

Kongres Kesatuan Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (KONGRES)

“KONGRES mengikuti rapat isu kematian kes Zara Qairina dan meminta semua pihak memberikan ruang yang seluasnya kepada pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melakukan siasatan terperinci dan telus,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Mohd Azizee, KONGRES menyokong proses penegakan keadilan kepada keluarga Zara Qairina dan berharap ia ditangani dengan sebaik-baiknya.

Sehubungan itu, katanya, semua pihak perlu memberikan kepercayaan kepada proses tersebut dan tidak menimbulkan apa-apa kekeliruan dan polemik.

Dalam masa sama, jelas beliau, pihaknya turut menggesa siasatan yang adil dan saksama buat keluarga mangsa dan menyeru semua pihak menangani isu itu dengan waras dan rasional tanpa dipenuhi dengan sentimen atau emosi.

“KONGRES menyakini negara ini adalah negara hukum yang berdiri atas prinsip Rukun Negara iaitu Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang- Undang,” katanya.

Tambah Mohd Azizee, pihaknya juga bersama-sama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam menolak segala bentuk perlakuan buli di sekolah dan tidak berkompromi terhadap isu tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast