KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) tidak akan berkompromi dengan guru
menggunakan vape khususnya secara terbuka atau di hadapan murid kerana telah melanggar Standard Guru Malaysia (SGM) yang menekankan peranan guru sebagai teladan sahsiah.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, bagi guru yang didapati menghisap vape dan merokok dalam kawasan sekolah, tindakan undang-undang seperti didenda sehingga RM10,000 atau dipenjara sehingga dua tahun boleh dikenakan berdasarkan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024.
“KPM turut mengharapkan kerjasama masyarakat serta pihak berkuasa tempatan bagi memantau pembelian dan penjualan vape terhadap murid sekolah.
“Ibu bapa dan penjaga pula perlu sentiasa mengawasi perubahan tingkah laku anak-anak mereka agar tidak terjebak dalam ketagihan menghisap vape,” katanya dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) yang meminta menteri pendidikan menyatakan langkah yang diambil oleh kementerian bagi membendung budaya penggunaan vape dalam kalangan pelajar sekolah khususnya apabila terdapat dakwaan bahawa segelintir guru turut menggunakan vape secara terbuka yang memberi contoh negatif kepada murid dan menjejaskan kredibiliti institusi pendidikan.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, KPM dalam proses meminda Peraturan-Peraturan Pendidikan (Disiplin Murid) dengan memasukkan dalam subperaturan bagi larangan merokok termasuk apa-apa rokok, perkakasan, alat elektronik dan cecair bagi vape.
Kata beliau, pindaan baharu itu selaras dengan Penguatkuasaan Akta 852 atau Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 yang diwartakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 1 Oktober 2024.
“Larangan ini termasuk penjualan vape kepada individu bawah umur 18 tahun dan menguatkuasakan tindakan terhadap premis yang menjual vape dalam jarak 40 meter dari sempadan atau pagar luar sekolah,” katanya. – MalaysiaGazette
















