Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Setiausaha Agung ASEAN, Kao Him Hourn, Menteri Digital, Gobind Singh Deo ketika merasmikan ILMU Ai buatan Malaysia pada Sidang Kemuncak ASEAN Ai Malaysia 2025 di MITEC, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 12 OGOS 2025

KUALA LUMPUR – Malaysia melakar sejarah dalam bidang kecergasan buatan (AI) apabila model bahasa besar (LLM), Intelek Luhur Malaysia Untukmu (ILMU) yang dibangunkan untuk rakyat Malaysia dilancarkan hari ini.

ILMU dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan disaksikan Menteri Digital, Gobind Singh.

Gobind berkata, Kementerian Digital menyambut baik ILMU sebagai inovasi Malaysia yang bersejarah oleh YTL AI Labs dan mencerminkan visi nasional untuk masa depan yang dipacu teknologi, bersifat inklusif dan relevan dengan budaya.

“Dibina oleh rakyat Malaysia untuk rakyat Malaysia, ILMU mempamerkan keupayaan kita membina infrastruktur AI bertaraf dunia sambil memelihara identiti bahasa dan budaya kita.

“Ini lebih daripada sekadar teknologi, ia adalah langkah untuk memperkasakan rakyat, perniagaan dan negara kita dalam era digital,” katanya.

Antara kelebihan ILMU termasuk kefasihan dalam Bahasa Melayu, Manglish (Melayu English) dan dialek tempatan seperti Kelate; dibangunkan dengan mengambil kira keselamatan, tadbir urus data dan kepentingan negara; dihoskan pada YTL AI Cloud untuk prestasi perusahaan dengan penempatan data tempatan; serta mampu menandingi model global terkemuka seperti GPT-4, DeepSeek dan Llama dalam penanda aras utama.

Model ini dibangunkan sepenuhnya di Malaysia, dan dioptimasikan untuk penggunaan bahasa, budaya dan realiti harian tempatan.

Ia juga turut disesuaikan untuk semua peringkat umur dan tahap pekerjaan.

Model bahasa ILMU ini juga hadir dalam bentuk multi-model, membolehkan ia berinteraksi dalam bentuk teks, suara dan juga visual.

Mengikut perbandingan yang diperlihatkan, ILMU dilihat menerajui pasaran jikalau dibandingkan yang lain, terutamanya dalam bahasa Malaysia.

Untuk rekod, YTL Power memainkan peranan penting dalam membentuk ekosistem AI Malaysia melalui pelaburan menyeluruh, daripada pembangunan pusat data hijau dan pengkomputeran super AI sehinggalah kepada ILMU, model bahasa besar (LLM) bertaraf dunia.

ILMU direka bentuk agar selaras dengan budaya tempatan, bijak mengikut konteks, dan fasih dalam Bahasa Melayu, sekali gus memacu inovasi berteraskan Malaysia yang mengukuhkan kemerdekaan digital, memacu penerimaan AI oleh sektor perusahaan, serta memupuk bakat tempatan.

Komitmen ini mengubah AI daripada sekadar usaha teknologi kepada satu keupayaan negara, memacu pembangunan infrastruktur pintar, meningkatkan produktiviti dan mewujudkan pertumbuhan yang inklusif.

Ia mencerminkan visi berani YTL Power: kecerdasan dibangunkan di Malaysia, oleh rakyat Malaysia, untuk rakyat Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast