Anggota bomba memeriksa keadaan seorang remaja yang lemas semasa mandi di Kampung Parit Senah, Parit Yaani, Batu Pahat semalam.

BATU PAHAT – Kegembiraan sekumpulan remaja mandi parit berakhir tragedi selepas seorang daripadanya lemas dalam kejadian di Kampung Parit Senah, Parit Yaani Tengah dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira pukul 10 pagi selepas empat remaja masing-masing berusia 13 tahun mandi dalam parit berkenaan.

“Ketika mandi, mereka mendapati salah seorang rakannya tidak timbul dalam tempoh sepatutnya, mereka kemudian mendapatkan pertolongan daripada penduduk berdekatan untuk membantu mencari rakannya itu.

“Selepas pencarian dilakukan, penduduk kemudiannya menemui remaja berkenaan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dasar parit sebelum dibawa naik ke darat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, namun mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dari Klinik Kesihatan Yong Peng Yan hadir untuk memberikan bantuan kecemasan.

Menurutnya, hasil bedah siasat dilakukan pihak Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini mengesahkan kematian mangsa berpunca akibat lemas.

Shahrulanuar berkata, berikutan laporan perubatan itu, kematian remaja berkenaan dikatogarikan sebagai mati mengejut (SDR).

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Yong Peng, Penolong Penguasa Bomba PPgB, Asyraf Nur Mohd Yusoff berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian pada pukul 10.48 pagi,

Susulan katanya, tujuh anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan 1 Ezam Maslan bersama-sama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, pasukan keluaran operasi (PKO) mendapati mangsa tidak sedarkan diri telah dibawa naik ke tebing oleh orang ramai dari sebatang parit berhampiran Dewan Orang Ramai Parit Senah.

“PKO kemudiannya menyerahkan mayat kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast