KUALA LUMPUR – Tiada kesan kecederaan berunsur penderaan ditemukan pada tubuh seorang pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, yang meninggal dunia baru-baru ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penemuan itu adalah hasil siasatan yang dilaksanakan jawatankuasa Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Tambahnya, jawatankuasa tersebut turut memanggil seramai 30 saksi termasuk pegawai dan jurulatih yang terlibat untuk diambil keterangan.
“Mereka menyatakan tidak ada sebarang perlakuan aktiviti ataupun tindakan berbentuk penderaan sepanjang tempoh latihan diadakan dari 27 Julai hingga 2 Ogos lalu dan kematian itu berlaku 28 Ogos selepas dia masuk ke tempat latihan di Pulada.
“Jurulatih yang mengendalikan program itu juga memaklumkan bahawa semua bentuk latihan kadet yang diberikan berpandukan sepenuhnya pada garis panduan dan prosedur yang telah ditetapkan.
“Proses bedah siasat ke atas mangsa telah dijalankan oleh paramedik tentera di Hospital Kota Tinggi mengesahkan tiada kecederaan pada jasad Allahyarham dan dapatan ini selari dengan hasil siasatan polis.
“Laporan juga mengesahkan semua bantuan awal telah diberikan mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan dan ia selari dengan dapat siasatan pihak polis,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Tahun 2025, di Wisma Perwira, hari ini.
Syamsul Haris,22,disahkan meninggal dunia pada 28 Julai lalu di Hospital Kota Tinggi (HKT) selepas selesai menjalani latihan di Lapang Sasar Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) di Johor.
Mohamed Khaled juga memaklumkan, kejadian berlaku pada hari kedua sesi latihan berialan iaitu semasa mangsa menjalani latihan inokulasi tempur disertai lebih 30 pelatih serta jurulatih.
Berhubung keputusan proses bedah siasat, beliau berkata ia akan mengambil masa antara sebulan hingga dua bulan bagi mengetahui punca sebenar kematian mangsa.
“Punca sebenar kematian akan kita ketahui selepas laporan penuh bedah siasat terperinci diperolehi, pada masa ini masih menunggu analisis makmal (pending laboratory analysis),” ujarnya.
Mohamed Khaled menambah, hasil siasatan awal tidak menemui sebarang unsur jenayah, dan pihak ATM akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis jika siasatan mendapati bukti baharu yang menunjukkan keadaan sebaliknya.
“Dia keluar daripada situ (latihan dalam keadaan meniarap) dan menunjukkan tanda-tanda (tidak sihat) akhirnya membawa kepada meninggal dunia,” katanya
Ketika ditanya mengenai permintaan keluarga untuk menjalankan bedah siasat kedua ke atas mayat mangsa, beliau memaklumkan pihaknya menyerahkan keputusan itu kepada pihak polis atau hospital.
Pada 2 Ogos lalu, Mohamed Khaled memaklumkan satu jawatankuasa siasatan akan ditubuhkan bagi menyiasat kematian Syamsul Haris terdiri daripada Kementerian
Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Kesihatan (KKM).
Kemudian, ibu kepada Allahyarham Syamsul Haris, menuntut supaya bedah siasat kedua dijalankan dan bersedia kubur anaknya digali semula, berikutan beberapa perkara yang meragukan, termasuk pendarahan serta kesan lebam di beberapa bahagian badan jenazah.
Ummu Haiman Bee Daulatgun, mendakwa maklumat awal yang diterima berhubung waktu kematian anaknya bercanggah susulan maklumat yang diberikan oleh jurulatih tidak selari dengan rekod yang dicatatkan di kaunter pendaftaran Unit Kecemasan Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor. – MalaysiaGazette
















