PASIR GUDANG – Tular seorang wanita tidak sempat ke hospital dan terpaksa melahirkan anak di tepi jalan berhampiran persimpangan lampu isyarat Taman Dahlia, di sini, Ahad lalu.
Peristiwa tersebut berlaku antara pukul 2 hingga 3 petang dalam keadaan hujan dan sesak.
Keadaan itu menyebabkan bantuan daripada pihak klinik kesihatan berhampiran lewat tiba sebelum beberapa wanita bertindak nekad membantu ibu hamil tersebut bersalin.
Syarifah Munawwarah Sayed Muhammad, 36, mengakui takut namun disebakan rasa bertanggungjawab mereka yang ada di situ terpaksa mengenepikan perasaan itu kerana yang lain tidak berani menjadi ‘bidan terjun’.
Menurut Syarifah Munawwarah, pada mulanya dia ternampak seorang pemandu e-hailing dan seorang wanita berbaju hitam memanggilnya untuk meminta bantuan.
“Mereka panggil beritahu seorang wanita mahu bersalin dan bayi sudah separuh keluar, tetapi tiada siapa berani untuk menyambutnya kerana bimbang keselamatan bayi.
“Kemudian Bhavani dan suaminya datang membantu, namun ibu berkenaan masih dalam keadaan meneran dan waktu itu pula hujan,” katanya dketika dihubungi.
Cerita Syarifah Munawwarah lagi, pada masa itu ramai yang berhenti tetapi kebanyakan lelaki manakala wanita pula bimbang untuk membantu apabila melihat banyak darah.
Suri rumah itu berkata, setelah bayi lelaki lahir dia cuba sedaya upaya memastikan ibunya tidak pengsan dan dalam keadaan sedar sehingga ambulan tiba.
“Masa itu, bayi sudah keluar sepenuhnya bersama uri. Saya duduk bersila di hadapan wanita itu, membantu mengawal keadaan sambil darah membasahi pakaian saya.
“Kami juga terpaksa ikat tali pusat bayi dengan tali kasut yang kami sendiri tidak tahu siapa pemiliknya bagi mengelakkan pendarahan berlebihan.
“Apa yang saya ingat, bayi itu menangis sebaik dilahirkan dan saya sempat menasihatkan ibu bayi tersebut supaya tidak pengsan kerana bimbang nyawanya terancam. Apa pun syukurlah kedua-duanya selamat dan kemudiannya dibawa ke hospital dengan ambulans,” katanya.
Sementara itu, M Bhavani Thevi, 34, berkata, kejadian itu berlaku ketika bersama-sama suami, Y Yugadevan, 34, dalam perjalanan dari kediaman mereka di Taman Bukit Dahlia ke rumah bapa mentua di Taman Mawar.
Bagaimanapun, suaminya terlihat seorang wanita sarat mengandung turun dari motosikal di laluan bertentangan dan duduk di tepi jalan berhampiran persimpangan Taman Bukit Dahlia.
“Bila nampak keadaan itu, saya dan suami serta seorang lagi wanita dalam lingkungan umur 50-an menghampirinya sebelum mendapati wanita berumur dalam 30-an itu mengalami sakit hendak bersalin.
“Kami segera menghubungi talian kecemasan dan ketika menunggu ketibaan pasukan perubatan, wanita terbabit kata semakin sakit dan bayinya hampir mahu keluar.
“Ketika itu saya menghubungi seorang lelaki dari Kementerian Kesihatan (KKM) yang memberi panduan sementara ambulans tiba.
“Dia minta saya supaya tidak panik dan meminta saya menenangkan ibu yang mengandung anak sulung itu supaya proses bersalin lancar,” katanya.
Ujar Bhavani Thevi lagi, walaupun tiada latar belakang dalam bidang perubatan, mereka serta beberapa wanita menjadi ‘bidan terjun’ demi menyelamatkan ibu serta bayi tersebut.
Malah katanya, suami serta seorang lelaki pemandu e-hailing turut membantu bagi mendapatkan barangan daripada pengguna jalan raya termasuk kain dan payung untuk memastikan aurat dan maruah ibu berkenaan terjaga.
“Saya juga menghubungi ahli keluarga untuk mendapatkan bantuan memandangkan beberapa pengguna jalan raya yang diminta pertolongan enggan membantu.
“Saya menadah tangan bagi menyambut bayi itu memandangkan tempat wanita itu baring adalah laluan tar serta kain juga tidak mencukupi untuk dialas.
“Akhirnya, bayi lelaki itu lahir dengan sempurna dan pada setiap saat kami diberi panduan oleh kakitangan KKM supaya ibu tidak pengsan selain memastikan bayi itu dalam keadaan baik,” katanya.- MalaysiaGazette
















