Allahyarham Zara Qairina Mahathir

KUALA LUMPUR – Inkues bagi menyiasat punca kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir mesti dijalankan tanpa campur tangan atau tekanan daripada mana-mana pihak, kata Ahli Parlimen Indera Mahkota.

Selain itu Datuk Seri Saifuddin Abdullah menegaskan, semua bukti perlu dibentangkan secara menyeluruh termasuk keterangan saksi dan laporan forensik yang lengkap.

“Inkues yang adil dapat memulihkan keyakinan rakyat terhadap sistem perundangan dan penguatkuasaan undang-undang. Ia juga menghantar mesej jelas bahawa setiap nyawa rakyat mempunyai nilai yang sama di sisi undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah bercakap kepada media selepas Majlis Perasmian Berkelompok Persidangan Tahunan Bersatu 2025 di Mines Wellness City, Seri Kembangan. Foto MOHD ADZLAN, 05 JULAI 2025.

Tambah beliau, inkues itu juga adalah peluang terbaik untuk merungkai fakta dan kedudukan sebenar di sebalik tragedi tersebut.

Jelas beliau lagi, fakta dan kebenaran ini penting bukan sahaja untuk keluarganya, tetapi juga untuk masyarakat yang mahu melihat sistem keadilan berfungsi dengan telus.

“Inkues ini adalah peluang untuk merungkai fakta dan kedudukan sebenar, iaitu kebenaran, di sebalik kematian Allahyarhamah Zara Qairina,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Jabatan Peguam Negara dalam satu kenyataan memutuskan untuk mengadakan prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian Zara Qairina, 13 bagi menentukan punca serta sebab kematian, termasuk mengenal pasti sama ada wujud unsur jenayah atau sebaliknya.

Keputusan itu dibuat selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Selasa dan selaras dengan peruntukan subseksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593].

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata tujuan inkues bukan sekadar mencari pihak bersalah, tetapi juga memastikan insiden seumpama itu tidak berulang pada masa depan, selain menjadi asas kepada pembaikan prosedur siasatan dan keselamatan awam.

Beliau turut menyatakan harapan agar pihak mahkamah, Peguam Negara, dan semua yang terlibat mengendalikan inkues tersebut dengan penuh integriti serta keputusan berpaksikan fakta, undang-undang dan prinsip keadilan.

“Dalam hal yang demikian, maka saya menyokong tuntutan ibu Zara Qairina supaya pihak keluarga diberi kebenaran untuk turut sama dilibatkan dalam prosiding inkues yang akan dijalankan kelak,” tegasnya.

Jumaat lalu, Jabatan Negara mengesahkan keperluan untuk menggali semula Zara Qairina bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas jenazah pelajar berusia 13 tahun itu.

Jelasnya, keputusan tersebut dibuat selepas penelitian dilakukan terhadap laporan penuh siasatan awal yang dikemukakan oleh PDRM berhubung kes kematian remaja terbabit.

Kubur Zara Qairina digali semula pada petang Sabtu dan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I bagi tujuan berkenaan.

Media pada Ahad melaporkan jenazah Allahyarham dibawa keluar dari Jabatan Perubatan Forensik hospital berkenaan dan jenazah dikebumikan semula di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol, Sipitang yang terletak kira-kira 130 kilometer dari hospital tersebut.

Peguam keluarga Allahyarham mengesahkan memang terdapat kecederaan pada tubuh remaja berusia 13 tahun itu, sebagaimana yang tersebar di media sosial hasil pemerhatian sepanjang proses bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQEI). – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast