Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar.

KUALA LUMPUR – Dakwaan yang mengatakan punca bedah siasat tidak dilakukan lebih awal ke atas jenazah Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir berpunca daripada permintaan ibunya sendiri sebenarnya tidak tepat.

Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, pelaksanaan bedah siasat tertakluk kepada peruntukan undang-undang dan keputusan pihak berkuasa tanpa mengambil kira permintaan waris.

“Malah, Seksyen 329 dan 330 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) memberi kuasa kepada Majistret atau Polis untuk mengarahkan bedah siasat dijalankan walaupun waris tidak bersetuju.

“Bedah siasat dilaksanakan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) polis bagi kes kematian mengejut, mencurigakan atau puncanya tidak diketahui.

“Proses ini bertujuan menentukan punca sebenar kematian, sama ada disebabkan oleh penyakit, kemalangan, bunuh diri, pembunuhan atau faktor lain,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar S. Muthuvelu memaklumkan, ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat, menandatangani dokumen berkaitan bedah siasat.

Dokumen itu yang bertajuk “Akuan Enggan Bedah Siasat Mayat Atas Kemahuan Sendiri” yang ditandatangani Noraidah turut disahkan doktor patologi dan pegawai penyiasat.

Penandatanganan dokumen ini adalah sebahagian daripada proses pentadbiran yang diuruskan oleh pihak hospital dan agensi berkaitan.

Selain itu, kata Zulkarnain, penggunaan perkataan terjun dalam sidang akhbar berhubung kes ini wajar diteliti kerana ia boleh menimbulkan tafsiran awal sebelum siasatan selesai.

“Adalah penting agar sebarang kenyataan awam berhubung punca kematian dibuat berdasarkan dapatan siasatan rasmi bagi menjaga ketelusan dan integriti proses,” katanya.

Zulkarnain juga merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sabah yang menganjurkan majlis bacaan tahlil dan doa di seluruh Sabah pada Khamis malam sebagai tanda penghormatan kepada Allahyarhamah Zara Qairina.

“Saya menyeru seluruh rakyat untuk terus menunjukkan solidariti dan berdiri bersama demi menuntut keadilan untuk adik Zara sehingga kebenaran yang sebenar dapat ditegakkan.

“Justeru, semua pihak disarankan memberi ruang sepenuhnya kepada panel inkues untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh dan telus, demi memastikan kebenaran dapat diketahui dan keadilan ditegakkan mengikut lunas undang-undang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast