(Gambar fail) Wakil Sekretariat Solidariti Zara berkumpul menyerahkan memorandum kepada ahli parlimen berhubung kes kematian Zara Qairina di hadapan Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 12 OGOS 2025

KUALA LUMPUR – Pasukan peguam yang mewakili keluarga Allahyarhamah Zara Qairina menyokong siasatan tatatertib yang dibuka terhadap beberapa pegawainya yang disyaki melakukan ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) ketika menjalankan siasatan kes terhadap pelajar tersebut.

Dalam kenyataan bersama, peguam Hamid Ismail, Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi dan Mohd Syarulnizam Mohd Salleh memohon memohon agar tindakan tegas diambil terhadap pegawai-pegawai polis terbabit sekiranya terbukti berlaku ketidakpatuhan SOP siasatan.

“Gelombang JusticeForZara di seluruh Malaysia yang menuntut keadilan bagi Zara tidak akan berlaku jika langkah yang sepatutnya diambil oleh pegawai penyiasat mengikut prosedur undang-undang bagi kes kematian yang melibatkan keadaan yang meragukan setelah mendapat informasi tentang kematian Zara pada 17 Julai 2025,” kata mereka dalam kenyataan di sini.

Kenyataan barisan peguam ini merujuk kepada kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay semalam bahawa Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman telah membuka Kertas Siasatan Tatatertib (KST) beberapa pegawainya yang terlibat dalam siasatan kes kematian Zara Qairina.

Mereka yang disiasat ialah Ketua Polis Daerah berpangkat Superintenden, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah berpangkat Asisten Superintenden (ASP) dan pegawai penyiasat berpangkat Inspektor.

Barisan peguam itu berharap gelombang JusticeForZara menjadi peringatan kepada Polis Diraja Malaysia agar memastikan semua kes kematian yang melibatkan keadaan yang
meragukan disiasat mengikut SOP siasatan dengan efektif dan telus bermula dari tarikh penerimaan laporan maklumat pertama.

Dalam pada masa yang sama, barisan peguam itu memaklumkan mereka masih menunggu tarikh permohonan inkues diadakan dari Jabatan Peguam Negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast