Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Pas menggesa semua pihak menghayati semangat kemerdekaan dan prinsip Rukun Negara dalam kemelut isu Jalur Gemilang yang dipasang secara terbalik di Kepala Batas, Pulau Pinang baru-baru ini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, arahan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke supaya DAPSY membuat laporan polis terhadap Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Salleh, berhubung himpunan berkaitan isu tersebut, disifatkan sebagai tindakan yang berlebihan dan boleh memburukkan keadaan.

“Pas mendapati arahan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke kepada sayap pemuda parti itu supaya membuat laporan polis terhadap Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Akmal Salleh berkait satu himpunan yang berlangsung di Kepala Batas, Pulau Pinang kelmarin sebagai sesuatu yang berlebih-lebihan, janggal, malah berpotensi memburukkan lagi keadaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan, sebagai parti dalam gabungan politik yang sama, DAP dan UMNO sepatutnya menyelesaikan isu berkenaan secara dalaman tanpa perlu membebankan pihak polis atau mengheret masyarakat dengan naratif yang tidak membina.

Katanya, keadaan itu bertambah tidak sihat kerana isu asal hanyalah berpunca daripada tindakan seorang individu yang memasang Jalur Gemilang secara terbalik, dan perkara itu kini sudah berada dalam siasatan pihak berkuasa.

“Malangnya ia diperbesarkan oleh saling tindakan kedua-dua parti dengan alasan dan motif masing-masing. Untuk rekod Pas secara tegasnya telah menasihati Pemudanya supaya tidak campur dalam peristiwa tersebut,” katanya.

Takiyuddin berkata, Pas percaya semua pihak perlu menghormati proses siasatan rasmi yang sedang dijalankan oleh polis tanpa menambah tekanan tidak perlu kerana kegagalan berbuat demikian hanya akan menjerumus negara kepada masalah lebih besar.

“Tindakan tidak berhemah dan berlebih-lebihan di satu pihak hanya akan mengundang respons yang serupa atau lebih buruk daripada pihak yang satu lagi,” ujarnya.

Sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-68 tidak lama lagi, Pas menyeru semua pihak kembali menghayati teras pembentukan negara dan prinsip Rukun Negara sebagai pedoman bersama untuk merealisasikan cita-cita perpaduan serta kemakmuran rakyat tanpa mengira latar belakang.

Loke semalam berkata tindakan Akmal merupakan satu bentuk buli dan ugutan terhadap peniaga berkenaan, walaupun siasatan masih dijalankan dan peniaga tersebut telah memohon maaf atas kesilapan pemasangan bendera.

Malah Loke berkata,  perbuatan tersebut melampaui batas undang-undang serta norma masyarakat berbilang kaum di Malaysia, dan hukuman setimpal wajar dikenakan terhadap tindakan sedemikian.

Beliau turut mengarahkan sayap DAPSY di seluruh negara untuk membuat laporan polis terhadap kejadian itu di bawah Seksyen 503 Kanun Keseksaan (menakutkan secara jenayah), Seksyen 504 (mengeluarkan kenyataan mengaibkan dengan niat membangkitkan kekacauan), dan Seksyen 505 (mengeluarkan kenyataan yang mendatangkan khianat awam).

Laporan polis juga akan dibuat di bawah seksyen baharu bagi menangani buli iaitu Seksyen 507B Kanun Keseksaan (menyebabkan mangsa mengalami gangguan, ketakutan atau kebimbangan) dan Seksyen 507C (mengeluarkan kata-kata yang berkemungkinan menyebabkan mangsa terganggu atau takut). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast