Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Rakyat negara ini dinasihatkan agar tidak takut dan gusar untuk mengibarkan Jalur Gemilang sempena bulan kemerdekaan, kata Datuk Ahmad Fahmi Fadzil.

Menteri Komunikasi itu berkata, walaupun ada sekelumit individu yang cuba menimbulkan rasa takut terhadap aktiviti mengibarkan bendera kebangsaan itu, ia tidak seharusnya mengikis semangat patriotisme dalam kalangan kalangan rakyat.

Do not be afraid to put up the Jalur Gemilang. Jangan rasa takut.

“Ada yang merasa risau sebab tindakan sekelumit sekumpulan kecil yang cuba untuk mengapi-apikan sentimen, menangguk di air keruh untuk cuba menakut-nakutkan orang,” katanya dalam ucapan sempena program Penyemarakan Seni Budaya @Komuniti Pantai Dalam 2025 di Tapak Parkir, Padang Bola PPR Kerinchi, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, tiada lagi teguran dan amaran, sebaliknya tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menimbulkan ketegangan antara kaum, agama dan budaya di negara ini.

Beliau berkata, unsur negatif yang semakin membarah bermula isu kematian pelajar Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir akibat buli dan terkini isu Jalur Gemilang dipasang terbalik perlu dihentikan dengan segera.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, pihak-pihak berkenaan tidak seharusnya mengambil tugas pihak berkuasa dengan meletakkan undang-undang di tangan sendiri.

Sebaliknya, semua pihak harus memberikan kepercayaan kepada badan- berkuasa untuk menjalankan tugas mereka.

“Jangan ambil tindakan bagi pihak polis, pihak polis yang sasar. Jangan ambil tindakan bagi pihak Jabatan Peguam Negara, pihak Peguam Negara yang dakwa. Jangan ambil tindakan bagi pihak Hakim. Biarlah Hakim dan mahkamah yang putuskan.

“Saya harap mesej yang saya nak sampaikan dalam bulan kebangsaan ini, kibarlah Jalur Gemilang dengan megah dan rasa selamat, kibarkanlah supaya kita mengingatkan diri kita, keluarga kita, komuniti kita bahawa Malaysia ini milik kita bersama,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast