KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa kerajaan menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Anti-Buli bagi memastikan insiden tragis yang menimpa adik Zara Qairina Mahathir tidak berulang.
Beliau berkata, keputusan Jabatan Peguam Negara untuk mempercepatkan inkues berhubung kematian pelajar berusia 14 tahun itu adalah langkah tepat, namun ia mesti dilaksanakan secara telus, menyeluruh dan berpaksikan undang-undang demi mencari kebenaran serta keadilan.
“Inkues ini hendaklah dijalankan secara telus, menyeluruh dan berpaksikan undang-undang demi mencari kebenaran dan keadilan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Muhyiddin menegaskan, insiden buli yang membawa kepada kecederaan atau kematian pelajar tidak boleh dipandang ringan, malah tidak wajar dibiarkan menjadi budaya di sekolah dan institusi pengajian tinggi negara ini.
“Tindakan undang-undang yang tegas hendaklah diambil untuk memastikan kejadian menyayat hati ini tidak berulang,” tegas beliau.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan perlu segera menggubal undang-undang khusus yang mengenakan hukuman berat terhadap pembuli dan mana-mana pihak yang cuai dalam melindungi keselamatan pelajar.
“Dengan adanya Akta Anti-Buli, kerangka undang-undang dan dasar yang jelas boleh dilaksanakan oleh pihak berkuasa untuk melindungi pelajar daripada tindakan penganiayaan sama ada berbentuk fizikal atau emosi yang menjejaskan keselamatan diri dan nyawa,” katanya.
Beliau turut menyifatkan budaya buli sebagai “gajah di dalam bilik” yang masih berleluasa terutama di sekolah berasrama, justeru tidak boleh dibiarkan berterusan kerana ia mengancam nyawa dan masa depan anak-anak.
“Saya mendoakan agar kedua ibu bapa dan ahli keluarga arwah adik Zara Qairina tabah menghadapi dugaan getir kehilangan insan tersayang,” ujar beliau.
Hari ini, Mahkamah Koroner menetapkan inkues berhubung kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, 13 dijalankan bermula 3 September 2025 dan dijadualkan berlangsung selama 19 hari.
Tarikh penuh prosiding ialah pada 3,4, 8 hingga 12, 17 hingga 19 dan 22 hingga 30 September, sebagaimana ditetapkan oleh Koroner, Pengarah Mahkamah Negeri Sabah, Azreena Aziz, dalam sebutan kes terbaru.
Semalam, Mahkamah Koroner Kota Kinabalu menetapkan untuk menjalankan inkues bagi menentukan punca dan sebab kematian Zara Qairina,13, hari ini.
AGC dalam kenyataan semalam memaklumkan perkara demikian susulan permohonan dibuat Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah, selaras dengan peruntukan di bawah subseksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah (Akta593).
Zara Qairina meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, di sini pada 17 Julai lalu selepas ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolah berkenaan pada pagi 16 Julai. – MalaysiaGazette















