Ahmad Terrirudin Mohd Salleh

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi menetapkan esok bagi mendengar permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk mendapat kebenaran memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh berkaitan isu titah adendum.

Permohonan itu akan didengar di hadapan Hakim Alice Loke Yee Chin.

Jika permohonan bekas Perdana Menteri dibenarkan, Ahmad Terrirudin perlu hadir bagi memberi penjelasan mengapa beliau tidak boleh dikenakan tindakan menghina mahkamah.

Sekiranya permohonan tersebut ditolak, prosiding menghina mahkamah terhadap hakim Mahkamah Persekutuan itu tidak akan diteruskan.

Najib membuat permohonan itu berdasarkan bukti bahawa Ahmad Terrirudin mempunyai pengetahuan terhadap titah adendum, namun didakwa memilih untuk mengelirukan mahkamah.

Sementara itu, dalam sesi pengurusan kes hari ini, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, pihaknya akan memohon pertimbangan mahkamah agar semakan kehakiman didengar pada 19 September ini.

“Mahkamah telah menetapkan 19 September untuk mendengar beberapa perkara termasuk sama ada perintah larangan bersuara (gag order) perlu dikekalkan,” ujar beliau kepada wakil media di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Najib memfailkan kebenaran memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Ahmad Terrirudin pada 21 Mei lalu atas alasan bekas Peguam Negara itu mempunyai pengetahuan berhubung titah adendum, namun bertindak mengelirukan mahkamah.

Salinan titah adendum bertarikh 29 Januari tahun lalu yang dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong ke-16 telah diserahkan kepada anak Najib, Datuk Mohamad Nizar yang diperoleh daripada Pejabat Sultan Pahang.

Ia berkata, tambahan pula, melalui sepucuk surat bertarikh 4 Januari lalu, Majlis Kesultanan Pahang secara rasmi telah mengesahkan ketulenan dan kesahihan titah berkenaan.

Kandungan dokumen itu bukan sahaja mengesahkan kewujudan titah adendum dan titah diraja mengenai penahanan rumah, malah turut mendedahkan ia secara langsung ditujukan kepada Ahmad Terrirudin dalam kapasitinya sebagai Peguam Negara ketika itu untuk melaksanakannya.

Titah Adendum berkenaan dikatakan diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membolehkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast