SEGAMAT – Polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian bendera Johor dipasang secara terbalik di sebuah hotel di Jalan Syed Abdul Kadir, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah berkata, satu laporan polis dibuat berkaitan satu hantaran dalam Facebook memaparkan keadaan bendera berkenaan yang dipasang di tingkat atas bangunan sebuah hotel.
“Hasil siasatan terhadap dua pekerja hotel mendapati bendera tersebut dipasang sempena sambutan Bulan Kebangsaan. Namun, ia dipasang secara terbalik secara tidak sengaja oleh seorang pekerja warga asing.
“Bendera itu telah diperbetulkan semula selepas ditegur rakan sekerja. Semakan lanjut mendapati pekerja berkenaan memiliki dokumen pasport dan permit kerja yang sah,” katanya dalam kenyataan.
Ahmad Zamry berkata, kes kini disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Tambahnya, polis sedang melengkapkan kertas siasatan untuk dirujuk ke Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor.- MalaysiaGazette
Caption gambar: Tangkap layar foto yang tular memaparkan bendera Johor dipasang terbalik di atas sebuah hotel di bandar Segamat, Segamat, semalam
















