KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menegaskan semua pihak khususnya media perlu mematuhi undang-undang bagi melindungi lima orang kanak-kanak yang akan didakwa berhubung kes kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.
Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak (OCC) SUHAKAM dalam kenyataan hari ini menegaskan, kanak-kanak berhak mendapat perlindungan penuh di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611], termasuk sokongan berasaskan trauma, bantuan guaman dan layanan yang adil.
“Identiti kanak-kanak tidak boleh didedahkan sama ada secara langsung atau tidak langsung. Nama, gambar, sekolah atau sebarang maklumat yang boleh membawa kepada pengenalan diri mereka tidak boleh dipaparkan kepada umum.
“Seksyen 15 Akta 611 memperuntukkan kesalahan bagi mana-mana pihak yang menerbitkan maklumat sedemikian dengan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali,” kata kenyataan itu.
OCC turut mengingatkan Mahkamah Bagi Kanak-Kanak adalah mahkamah tertutup di bawah Seksyen 12 Akta 611, justeru hanya pihak terlibat secara langsung dibenarkan hadir.
Fokus utama SUHAKAM adalah memastikan kanak-kanak berkenaan tidak berdepan stigma akibat prosiding tersebut.
“Kami mengingatkan orang ramai bahawa perbuatan membuli, sama ada di sekolah atau dalam talian, sama sekali tidak boleh diterima,” kata kenyataan itu lagi.
Dalam masa sama, pihaknya menggesa platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok supaya mengemaskini dasar dalaman serta piawaian komuniti agar lebih proaktif dalam menurunkan kandungan yang melanggar Seksyen 15 Akta 611.
Sebarang penerbitan yang boleh mendedahkan identiti kanak-kanak, sama ada disengajakan atau tidak berpotensi menjejaskan perlindungan mereka serta menyumbang kepada mudarat jangka panjang.
“Langkah pantas perlu diambil untuk menurunkan kandungan yang melanggar undang-undang bagi mengelakkan ia tersebar luas dan membahayakan kanak-kanak,” jelasnya.
SUHAKAM menegaskan keadilan dalam kes ini mesti dilaksanakan berlandaskan prinsip hak kanak-kanak dan kedaulatan undang-undang. – MalaysiaGazette
















