Datuk Othman Jais

JOHOR BAHRU – Tindakan mengarahkan Sayap Pemuda DAP (DAPSY) di seluruh negara membuat laporan polis terhadap Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh adalah satu bentuk politik intimidasi yang tidak wajar dan biadab.

Pengerusi Veteran UMNO Negeri Johor, Datuk Othman Jais berkata, arahan tersebut dikeluarkan hanya kerana Ketua Pemuda UMNO itu mempertahankan Jalur Gemilang dengan berarak dan demonstrasi di Kepala Batas, Pulau Pinang, Khamis lalu.

“Jalur Gemilang adalah lambang kedaulatan dan identiti negara. Tiada kompromi dalam menjaga kehormatannya dan tindakan tegas mesti dikenakan tanpa mengira siapa yang melakukan kesalahan.

“Namun jangan sekali-kali bendera negara dijadikan modal politik oleh DAP untuk mengaibkan pihak lawan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 15 Ogos lalu Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dilaporkan berkata, DAPSY di seluruh negara diarahkan untuk membuat laporan polis terhadap Akmal berhubung perarakan dan demonstrasi di depan sebuah kedai logam di Kepala Batas.

Menurutnya, laporan terbabit dibuat di bawah Seksyen 503 Kanun Keseksaan iaitu menakutkan secara jenayah, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 505 Kanun Keseksaan.

Pada Khamis, kira-kira 500 ahli UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengadakan Perhimpunan Solidariti Jalur Gemilang Tanah Tumpahnya Darahku di Bertam, Kepala Batas, sebagai tanda solidariti dan semangat patriotisme menjelang sambutan Hari Kebangsaan.

Sebelum ini Akmal mempertahankan pendiriannya mengecam isu Jalur Gemilang yang dipasang terbalik di sebuah sekolah di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Mengulas lanjut, Othman berkata, kenyataan Anthony Loke itu seperti memperlekehkan isu tersebut sehingga mengarahkan untuk membuat laporan polis.

Veteran UMNO Johor tegasnya, berdiri teguh di belakang Akmal dan menyeru seluruh rakyat agar sentiasa menghormati bendera negara sebagai tanda kasih dan taat setia kepada tanah air tercinta.

“Oleh itu, mana-mana individu, pihak berkuasa tempatan, agensi, atau syarikat yang didapati cuai atau sengaja memasang bendera secara terbalik wajib dikenakan tindakan undang-undang tanpa pilih kasih,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast