Khairul Anuar dan wakil-wakil syarikat agensi pelancongan mengadakan sidang akhbar di Taman Universiti, Johor Bahru hari ini

JOHOR BAHRU – Lebih 400 syarikat agensi pelancongan di negeri ini mendakwa terjejas selepas kerajaan Singapura tidak lagi membenarkan memohon Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) sejak 2023.

Wakil syarikat agensi pelancongan, Dr Khairul Anuar Mohtar, 37, berkata, mereka yang menggunakan kenderaan premium serta kenderaan berlesen ‘Hire & Drive’ Pelancongan Malaysia kerugian sehingga 50 peratus hasil pendapatan akibat peraturan baharu itu.

“Semua kenderaan syarikat yang terdiri daripada empat MPV premium iaitu Toyota Alphard, Toyota Vellfire, Hyundai Staria dan Hyundai Starex ditolak permohonan VEP.

“Perkembangan ini menyebabkan kenderaan agensi pelancongan berlesen tidak dapat membawa pelancong dan penumpang masuk ke Singapura.

“Sedangkan kenderaan ‘Hire & Drive’ Pelancongan kami memenuhi piawaian keselamatan setara dengan standard Singapura, termasuk pemeriksaan Puspakom secara berkala setiap enam bulan, insurans penumpang bagi setiap tempat duduk, pemandu dengan lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) vokasional dan permit rasmi di bawah Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

“Akibat sekatan ini, ruang kosong ini diisi oleh kenderaan persendirian yang beroperasi secara haram atau teksi haram merentas sempadan tanpa kawalan, mengambil pelancong dari kedua-dua sempadan secara tidak sah,” katanya dalam sidang media bersama-sama 30 pengusaha agensi pelancongan di Taman Universiti di sini hari ini.

Katanya, situasi itu membahayakan keselamatan, merugikan mereka sebagai agensi pelancongan yang sah serta menjejaskan imej pelancongan Johor.

“Kami memang mempunyai PSV ASEAN yang membolehkan bas persiaran beroperasi tetapi ia perlu melalui laluan bas di mana penumpang perlu beratur panjang untuk pemeriksaan Imigresen seperti ribuan pengembara lain.

“Masalah kami ialah empat kenderaan premium yang menjadi pilihan tertinggi pelancong dari Singapura ke Johor tidak dibenarkan beroperasi sebab tiada VEP.

“Sedangkan khidmat kami amat diperlukan oleh penumpang seperti warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU) dan korporat yang mahu merentas sempadan, tanpa perlu beratur panjang dan melalui laluan kereta,” katanya.

Bagi pengusaha agensi pelancongan, Ahmad Khaizurin Shario, 44, menjelaskan perkhidmatan Hire & Drive Pelancongan ini telah mula dijalankan sejak 10 tahun lalu tanpa masalah dengan lebih 1,000 kenderaan premium ini beroperasi setiap hari.

Ujarnya, sejak awal tahun ini, sebanyak 119 kenderaan premium telah disita oleh Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat Singapura (LTA).

“Ada di antara rakan agensi kami yang terkesan apabila kenderaan disita. Mereka perlu membayar saman bagi pemandu S$1,800 Singapuradan pemilik S$2,200 dengan jumlah keseluruhan lebih RM14,000.

“Bagaimanapun setakat ini kenderaan mereka tidak dipulangkan dan tiada berita berhubung perkara itu sehingga kini.

“Kami mencadangkan penyelesaian termasuk kerjasama rentas sempadan yang sah dengan membolehkan ‘Private Hire Vehicle’ (PHV) Singapura dan ‘Hire & Drive Pelancongan Malaysia diberi permit khas Point to Point (P2P) untuk rentas sempadan Singapura-Malaysia,” katanya.

Pihaknya juga mencadangkan penyelarasan tambang dengan menetapkan kadar tambang selaras pasaran bagi menjamin persaingan sihat dan kelangsungan kedua-dua pihak.

Beliau berkata, mereka meminta agar MOT mengadakan perbincangan dengan LTA berhubung isu itu kerana sekiranya perkhidmatan ini dibenarkan kembali beroperasi, pasti akan menyokong inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) khususnya melibatkan sektor pelancongan.

“Kami juga memohon LTA Singapura untuk membenarkan kami kembali menyediakan perkhidmatan tersebut sekaligus menghapuskan lambakan kenderaan persendirian yang menawarkan perkhidmatan itu secara haram ketika ini.

“Ini juga menjamin keselamatan pelancong apabila menggunakan perkhidmatan berdaftar dan berpermit, menyokong pertumbuhan industri pelancongan sah serta memenuhi semangat kerjasama JS-SEZ.

“Kami menyeru kerajaan Malaysia dan Singapura serta pihak-pihak lain terlibat untuk mengadakan perbincangan bersama bagi mencari penyelesaian terbaik terhadap masalah ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast