JOHOR BAHRU – Seorang pesara buntu apabila kad kredit miliknya digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab pada Jun lalu sehingga mengalami kerugian sebanyak RM14,910.
Ong Tian Hoh, 59, dari Taman Molek, di sini, mendakwa sudah membuat beberapa laporan kepada bank dan polis mengenai perkara tersebut namun sehingga kini, tiada tindakan diambil oleh mana-mana pihak.
Menceritakan lebih lanjut, Tian Hoh berkata, semuanya bermula pada 14 Jun lalu selepas menerima tiga notifikasi dari pihak bank dalam masa beberapa jam memaklumkan berlaku transaksi daripada kad kreditnya.
“Setiap transaksi tersebut melibatkan jumlah antara RM4,000 hingga RM5,000. Tiga transaksi tersebut melibatkan jumlah keseluruhan RM14,910.
“Ini membuatkan saya hairan kerana saya tidak gunakan kad kredit saya dan juga tidak menerima sebarang nombor pas pengesahan transaksi (OTP) melalui telefon bimbit untuk pengesahan penggunaan kad kredit saya,” katanya.
Dia berkata demikian dalam sidang akhbar di Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya di Taman Johor Jaya di sini hari ini.
Menurut Tian Hoh, dia kemudian menghubungi pihak bank terbabit memaklumkan tidak menggunakan kad kreditnya untuk sebarang pembelian.
Pihak bank katanya, memberitahunya traksaksi masih belum berlaku tetapi akhirnya proses tersebut terjadi juga apabila menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) dari bank menyatakan dia sudah menggunakan kad kreditnya itu.
Dia kemudian membatalkan kad kreditnya selepas semakan mendapati benar sudah berlaku transaksi sebelum datang ke bank berkenaan di Taman Molek untuk membuat aduan selain membuat laporan di Balai Polis Taman Johor Jaya pasa 16 Jun lalu.
“Selepas membatalkan kad kredit itu, saya semak melalui sistem mendapati pihak yang menggunakan kad kredit saya itu masih cuba menggunakannya empat kali tetapi tidak berjaya kerana kad kredit itu sudah dibatalkan pendaftarannya.
“Saya kemudian berjumpa dengan pihak bank termasuk pengurus bank berkenaan di Taman Molek sebanyak lima kali tetapi sehingga kini tiada perkembangan,” ujarnya.
Dia berkata, siasatan awal mendapati kad kreditnya digunakan pihak dari luar negara.
Tian Hoh bercadang bertemu peguam dan pergi ke Bank Negara pada Isnin ini, sekiranya masih tiada perkembangan atau sebarang tindakan lanjut bercadang untuk saman bank tersebut.
Sementara itu, Pegawai Aduan Pejabat ADUN Johor Jaya, Mok Meng Haw mahu pihak berkenaan mengambil tindakan sewajarnya untuk mendapatkan keadilan kepada Tian Hoh yang tidak bersalah.
Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya berwaspada terutama apabila menerima pautan daripada mana-mana pihak atau nombor tidak dikenali. – MalaysiaGazette
















