KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan sedang menjalankan siasatan terhadap Sarawak Tribune susulan aduan awam berhubung penerbitan artikel bertajuk “Militant Using Press Cover Eliminated” yang disiarkan pada 12 Ogos lalu.

Tiga individu daripada syarikat penerbitan itu telah dipanggil untuk memberi keterangan secara berasingan bagi membantu siasatan.

Menurut KDN, siasatan difokuskan kepada penerbitan tidak diingini yang berpotensi menggemparkan fikiran orang ramai serta menggugat ketenteraman awam, di samping kemungkinan berlaku pelanggaran syarat permit di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301].

“KDN memandang serius perbuatan menyiarkan artikel tersebut yang menimbulkan kekeliruan, rungutan dan keresahan dalam kalangan masyarakat. Justeru, syarikat akhbar adalah diingatkan supaya lebih teliti, bertanggungjawab, dan beretika dalam penerbitan berita,” jelas kenyataan itu.

KDN turut menegaskan syarikat media perlu memastikan kandungan yang diterbitkan tidak menimbulkan kontroversi atau menyentuh sensitiviti awam.

Dalam masa sama, KDN berkata kesalahan menyiarkan berita tidak benar, mengelirukan, atau penerbitan yang dikategorikan sebagai tidak diingini boleh dikenakan tindakan di bawah Akta 301.

“Jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun, atau denda tidak melebihi RM20,000, atau kedua-duanya sekali, termasuk kemungkinan tindakan kepada pembatalan permit penerbitan,” tegas KDN lagi.

KDN juga memberi amaran bahawa pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuai dalam penerbitan berita yang boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman awam.

“Tindakan penguatkuasaan yang tegas atas kesalahan terhadap Akta yang berkuat kuasa akan dipertimbang sebaik sahaja siasatan dilengkapkan,” kata kenyataan itu.

Sebelum ini, Pemuda Amanah menggesa KDN dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan tegas terhadap akhbar berkenaan termasuk mempertimbangkan penutupannya.

Pengerusi Biro Antarabangsa Pemuda Amanah, Mus’ab Muzahar dilaporkan berkata, sayap parti itu mengecam sekeras-kerasnya tindakan biadab akhbar berkenaan menyiarkan tajuk berbaur fitnah terhadap wartawan Al Jazeera, Anas Al-Sharif, yang syahid dalam serangan Zionis di Gaza. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast