Anggota APM, polis dan penduduk melakukan pemeriksaan di sebuah surau selepas berlaku gegaran akibat gempa bumi di Segamat, hari ini

JOHOR BAHRU – Semua masjid dan surau di negeri ini, disaran mengadakan doa selamat dan solat hajat susulan gempa bumi lemah mengegarkan Segamat dan Kluang pada awal pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, penganjuran tersebut bagi memohon keselamatan dan kesejahteraan berterusan kepada rakyat dan negeri.

“Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) menyarankan penganjuran doa selamat dan solat hajat dalam Johor agar memohon keselamatan rakyat dan negeri Johor sentiasa terpelihara.

“Keadaan amat terkawal dan selamat, saya mohon semua terus peka kepada sebarang arahan dari pihak berkuasa dari masa ke semasa.

“Semoga Allah memelihara keselamatan kita semua,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu berlaku dua gegaran lemah akibat gempa bumi di daerah Segamat yang dikesan terjadi sekitar pukul 6.13 pagi dan 9 pagi tadi.

Selain itu satu gegaran lemah berlaku di Kluang juga pada pukul 9 pagi.

Kedua-dua kejadian tersebut tidak mengakibatkan kecederaan atau kemalangan jiwa.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dilaporkan berkata, kerajaan negeri menasihati orang ramai supaya menjauhi struktur tidak kukuh dan sentiasa peka dengan arahan pihak berkuasa.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon dalam hantarannya pula berkata, Jabatan meteorologi (MetMalaysia) telah mengeluarkan kenyataan berhubung kejadian gempa bumi itu.

Berdasarkan data direkodkan, katanya, gegaran itu berkekuatan 4.1 magnitud di daerah berkenaan yang jaraknya terletak kira-kira 180 kilometer dari ibu negeri.

Beliau berkata, gegaran berkenaan turut dirasai di kebanyakan kawasan di Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan selatan Pahang.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast