Anggota imigresen menahan pekerja warga asing dalam serbuan di beberapa institusi pendidikan dan premis perniagaan di sekitar Johor Bahru kelmarin.

JOHOR BAHRU – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memberkas 24 warga asing selepas menyerbu beberapa institusi pendidikan dan premis perniagaan di sekitar daerah ini kelmarin.

Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, mereka yang ditahan berusia lingkungan antara 17 tahun hingga 63 tahun termasuk dua lelaki tempatan.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada seorang lelaki dewasa warganegara Nepal, dua lelaki dewasa Bangladesh, dua lelaki dewasa Indonesia, tiga lelaki dewasa Pakistan dan tiga lelaki dewasa Myanmar.

“Selain itu seorang wanita dewasa China dan 12 wanita dewasa Indonesia. Sementara dua lelaki dewasa tempatan yang ditahan itu merupakan pengurus di premis tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, secara keseluruhan dalam Ops Selera, Ops Belanja dan Ops Kutip itu seramai 67 warga asing dan warga tempatan diperiksa.

Jelasnya, operasi yang melibatkan 35 pegawai Bahagian Penguatkuasa JIM Johor itu diambil susulan maklumat awam dan risikan mendapati mereka yang ditahan bekerja dan tinggal di Malaysia tanpa memiliki suatu permit/pas yang sah.

Semua yang ditahan, katanya, disyaki telah melakukan kesalahan bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah.

Mereka melakukan kesalahan bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal di Malaysia setelah Pas atau Permit tamat atau dibatalkan, Peraturan 11(7)(a) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu salah guna Pas Lawatan Sosial (PLS) dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas yang ditetapkan.

Beliau memberitahu, dua warga tempatan ditahan itu pula disiasat bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 kerana melindungi warga asing.

“Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan dan tindakan lanjut,” tambahnya.

Dalam pada itu, Mohd Rusdi berkata, JIM Johor akan terus memperkasa penguatkuasaan membanteras warga asing yang melakukan kesalahan di bawah akta dan peraturan Imigresen.

“Jabatan ini juga akan memerangi dan tidak akan berkompromi dengan majikan, pemilik premis serta individu-individu yang didapati menggajikan serta melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI),” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast