Ab Rahaman menunjukkan dadah yang dirampas dalam beberapa serbuan, selepas sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Satu sindiket pengedaran dadah tumpas yang menjadikan pangsapuri mewah di bandar raya ini sebagai stor pembungkusan dan penyimpanan dadah bernilai RM2.67 juta.

Ketua Polis Johor,  Datuk Ab Rahaman Assad berkata, kejayaan itu selepas melakukan empat serbuan berasingan pada 18 hingga 20 Ogos lalu sebelum empat suspek termasuk dua wanita warga Vietnam ditahan.

“Menerusi serbuan pertama iaitu operasi khas dijalankan Jabatan Siasatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor, menahan seorang lelaki tempatan dan wanita Vietnam berumur lingkungan 29 hingga 33 tahun.

“Pelbagai jenis dadah ditemui dalam dua unit pangsapuri berlainan daripada empat unit yang diserbu. Modus operandi sindiket ini menjadikan pangsapuri yang dilengkapi pengawal dan keselamatan sebagai tempat penyimpanan dan pembungkusan dadah ekstasi sebelum diedarkan.

“Serbuan pertama polis berjaya membuat rampasan dadah dianggarkan bernilai RM1.21 juta, membabitkan 7.1 kilogram (kg) serbuk Methylenedioxy-methamphetamine (MDMA), lebih kurang 1.25 kg iaitu 39 paket serbuk ekstasi yang dibungkus dalam paket minuman jus berperisa, ketamin (11 gram) dan pil ekstasi 69 gram (230 biji).

“Polis turut merampas wang tunai RM7,050 dan dua bentuk cincin emas bernilai RM4,300,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor (IPK), di sini, hari ini.

Katanya, susulan tangkapan serbuan pertama, pihaknya menahan seorang lelaki tempatan berumur 46 tahun dalam serbuan kedua di pangsapuri berdekatan.

Beliau berkata, dalam serbuan kedua, polis merampas 8.3 kg serbuk MDMA, serbuk ekstasi (5.6 kg iaitu 169 paket dadah yang dicampur jus minuman berperisa), 19 botol dadah cecair, ketamin (11gram), pil ekstasi (10 biji) dan pil eramin ‘five’ (empat biji) yang keseluruhan bernilai RM1.48 juta.

“Dalam serbuan kedua, polis merampas 8.3 kg serbuk MDMA, serbuk ekstasi (5.6 kg iaitu 169 paket dadah yang dicampur jus minuman berperisa), 19 botol dadah cecair, ketamin (11gram), pil ekstasi (10 biji) dan pil eramin ‘five’ (empat biji) yang keseluruhan bernilai RM1.48 juta.

Dalam serbuan itu juga katanya, beberapa alatan memposes dan membungkus dadah turut dirampas selain menyita sebuah kereta bernilai RM30,000.

“Sindiket ini dipercayai beroperasi sejak April dan Julai lalu. Jumlah dadah ini bagi kedua serbuan ini boleh digunakan seramai 52,839 penagih,” katanya.

Ab Rahaman berkata, tiga daripada suspek positif dadah jenis methamphetamine selepas ujian saringan urin dijalankan.

Seorang suspek lelaki tempatan berusia 45 tahun mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah, katanya.

“Kesemua suspek direman sehingga 27 Ogos untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Dua wanita Vietnam itu pula disiasat bawah Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63 untuk pengesahan ketulenan dokumen perjalanan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast