SEGAMAT – Gempa bumi lemah yang melanda semalam tidak merosakkan beberapa infrastruktur awam di daerah ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, ini berdasarkan hasil pemantauan awal Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di lokasi gegaran.

“Dalam radius 5 kilometer dari pusat gegaran mendapati 47 jambatan di jalan negeri, 14 jambatan di jalan Persekutuan dan 10 jejantas berada dalam keadaan terkawal dan stabil.

“Ini termasuk beberapa empangan bawah JPS seperti Empangan Bekok di Segamat, Empangan Sembrong (Batu Pahat) dan Empangan Macap (Kluang),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, kerajaan negeri ingin memberikan jaminan kepada rakyat bahawa JKR Johor akan meneruskan pemeriksaan dan pemantauan berterusan ke atas semua jambatan, jejantas dan jalan raya yang berada dalam kawasan terlibat.

Disamping itu, JPS Johor akan memastikan tahap keselamatan empangan berada pada keadaan terkawal dan stabil.

Beliau berkata, sekiranya terdapat sebarang kesan atau kerosakan struktur, tindakan segera akan diambil oleh pihak berkuasa.

Semua maklumat rasmi dan perkembangan terkini ujarnya, hanya akan dikeluarkan melalui saluran rasmi agensi kerajaan bagi mengelakkan kekeliruan atau spekulasi.

Semalam, gempa bumi lemah dengan magnitud 4.1 melanda Segamat pukul 6.13 pagi sebelum gegaran kedua pukul 9 pagi.

Sementara gegaran berukuran 2.8 magnitud dilaporkan di Yong Peng pada pukul 9 pagi hari yang sama.

Gegaran turut dirasai di kebanyakan kawasan di Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan selatan Pahang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast