KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki tempatan bersama kira-kira 24 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah bernilai hampir RM1 juta yang ditemui dalam dua serbuan sekitar Lembah Klang, Rabu lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, serbuan pertama dijalankan di sebuah residensi di sini, pada 6.15 petang menemukan dua ketulan mampat ibu heroin seberat 741 gram (g).
“Susulan itu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah kereta jenis Toyota Vios yang diletakkan di kawasan Taman Perumahan, Taman Segar, Cheras Selangor.
“Polis menemui satu guni dan beg kain berisi lapan ketulan mampat disyaki heroin base (ibu heroin) seberat dianggarkan 3kg,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Fadil berkata, polis turut menemukan 20 bungkusan teh Cina disyaki mengandungi dadah jenis Syabu dianggarkan seberat 20.5 kg.
Katanya, suspek berusia 29 tahun itu dipercayai menjadikan kenderaan terbabit sebagai stor sebelum mengedar bahan terlarang itu kepada pelanggan.
Tambahnya, sindiket tersebut dipercayai mula bergerak aktif sejak Oktober 2024 dan menjalankan pengedaran di sekitar Lembah Klang.
Dadah jenis ibu heroin yang dirampas akan diproses terlebih dahulu untuk dijadikan heroin yang boleh digunakan penagih.
Fadil berkata, nilai pasaran kesemua ibu heroin terbabit dianggarkan berjumlah RM321,000 manakala syabu RM653,000.
Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM974,000 dan jumlah dadah yang dirampas dianggarkan boleh menampung penggunaan seramai 420,400 orang penagih dadah pada satu masa.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang 12 kali.
Menurut beliau, ujian air kencing ke atas suspek dapati negatif sebarang jenis dadah, manakala semakan rekod lampau mendapati suspek pernah dihukum mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. -MalaysiaGazette
















