KEPALA BATAS – Seorang penunggang motosikal tercampak ke dalam longkang sedalam satu meter selepas kenderaan ditunggangnya terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 123.6 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) di sini, malam tadi.
Kejadian jam 10.20 malam, menyebabkan mangsa berusia 30-an yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 itu mengalami cedera parah.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.20 malam dan sebuah jentera bersama enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kepala Batas digegaskan ke lokasi.
“Setiba di lokasi, kita dapati insiden melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 dan sebuah kereta jenis Perodua Bezza.

“Dipercayai impak kemalangan dua kenderaan itu menyebabkan penunggang motosikal tercampak ke dalam longkang berkedalaman satu meter.
“Susulan itu, anggota membuat size up serta kerja-kerja mengangkat mangsa,” katanya hari ini.
Tambah beliau, mangsa yang mengalami kecederaan pada bahagian kepala serta anggota badan diberi rawatan awal di lokasi sebelum dibawa ke hospital berhampiran menggunakan ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Operasi berkenaan ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.02 malam,” katanya. – MalaysiaGazette















