PASIR GUDANG – Parti Amanah Negara (Amanah) Johor merancang untuk memilih bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Che Zakaria Mohd Salleh, 64, sekali lagi sebagai calon pada pilihan raya akan datang.
Naib Pengerusi Amanah Johor, Dr Zuhan Zain berkata, pihaknya sedang memilih kawasan yang sesuai dan berpotensi untuknya yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) Amanah Johor.
“Kita masih belum putuskan kawasan untuknya bertanding. Beliau merupakan calon Amanah dalam pilihan raya sebelum ini. Namun hajat ini tidak kesampaian apabila beliau meninggal dunia malam tadi.
“Sebelum ini beliau terjatuh dalam bilik pada Sabtu lalu sebelum dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru.
“Beliau kemudian dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan perlu dibedah tetapi pihak hospital tidak berbuat demikian kerana terlalu berisiko,” katanya ditemui pemberita di Tanah Perkuburan Islam Mumainah Pasir Gudang di sini hari ini.
Zuhan yang juga Ketua Amanah Kawasan Kluang berkata, Allahyarham dimaklumkan menghembuskan nafas terakhir pada pukul 9.50 malam tadi di sini ahli keluarganya.
Beliau menyifatkan pemergian Allahyarham adalah sebagai satu kehilangan kepada Amanah kerana komited selain banyak berjasa kepada masyarakat.
“Allahyarham adalah seorang yang sangat berkarisma dan berwawasan. Beliau bukan sahaja seorang pemimpin tetapi juga seorang sahabat,” ujarnya.
Terdahulu lebih 400 ahli keluarga, saudara dan kenalan hadir dalam upacara pengkebumian tersebut.
Che Zakaria meninggal dunia di HSA malam tadi dan berita pemergian bekas wakil rakyat itu dikongsikan dalam Facebook parti tersebut yang merakamkan takziah kepada ahli keluarganya.
Allahyarham sebelum ini pernah bertanding sebagai calon kerusi Parlimen Pengerang mewakili Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada 2022 menentang Datuk Seri Azalina Othman Said namun tewas.
Sebelum itu beliau menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas atas tiket Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menewaskan bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam PRU-14 pada 2018.- MalaysiaGazette
















