JOHOR BAHRU – Seorang pegawai dan dua anggota polis didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas enam pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM12,300 pada November 2023.
Ketiga-tiga tertuduh, Deris Jerman, 43; Mohd Fahmee Mohd Top, 37, dan Muhammad Taufiyqul Hakim Mohd Zaki, 29, mengaku tidak bersalah setelah pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Deris yang merupakan pegawai polis berpangkat Inspektor bersama Mohd Fahmee (Koperal), didakwa atas lima pertuduhan bersetuju menerima rasuah daripada tiga individu sebagai dorongan agar tidak menyita lori dan tidak menjalankan siasatan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Kilometer 26, Jalan Nitar, Mersing dan Maybank Cawangan Mersing antara pukul 3 petang hingga 5.52 petang pada 30 November 2023.
Oleh itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) dan Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.
Sementara itu, Muhammad Taufiyqul yang berpangkat Lans Koperal pula didakwa meminta wang suapan RM800 agar tidak menyita lori dan tidak menjalankan siasatan di bawah APJ 1987.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Kilometer 26, Jalan Nitar, Mersing pada pukul 12.30 petang, 19 November 2023.
Atas kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Alice Voon Mei Ling manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Azlan Shah Mohd Alias
Ketika rayuan, peguam Mohd Azlan Shah yang mewakili kesemua tertuduh, memohon agar mahkamah memberikan jaminan minimum kepada ketiga-tiga tertuduh kerana mereka tidak berisiko melarikan diri kerana masih lagi dalam perkhidmatan.
Deris telah berkhidmat selama 25 tahun dan pernah menerima anugerah perkhidmatan cemerlang, manakala Mohd Fahmee telah berkhidmat selama 17 tahun, selain Muhammad Taufiyqul sembilan tahun.
Kesemua tertuduh juga telah berkahwin dan mempunyai tanggungan ahli keluarga selain memberikan kerjasama yang baik sepanjang siasatan dilakukan pihak SPRM.
Mahkamah kemudiannya menetapkan Deris dan Mohd Fahmee masing-masing dibenarkan ikat jamin sebanyak RM10,000, manakala Muhammad Taufiyqul sebanyak RM6,000 dan menetapkan tarikh 30 September ini bagi sebutan semula kes dan penyerahan dokumen.- MalaysiaGazette
Caption gambar: Tiga anggota polis yang didakwa menerima rasuah tertunduk semasa pihak media cuba merakam Foto mereka di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini
















