JOHOR BAHRU – Seorang lelaki warga Pakistan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas tuduhan mencuri petrol sebuah motosikal di Iskandar Puteri, dua minggu lalu.
Tertuduh, Dilawar Khan, 38, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Atifah Hazimah Wahab.
Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan niat curang mencuri dua botol 2.5 liter petrol daripada motosikal milik seorang lelaki di Parking Regalia Park, Forest City, Iskandar Puteri, pukul 7.30 pagi, 11 Ogos lalu.
Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nik Noratini Nik Azman menawarkan jaminan RM10,000, namun tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jumlah itu dikurangkan.
“Saya orang miskin. Kaki patah sudah tiga empat bulan. Isteri saya orang Melayu Malaysia dan kawan saya orang Pakistan, mereka ‘blackmail’ saya, kenakan saya,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan dua penjamin warga tempatan serta menetapkan 9 September depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.
Terdahulu, tertuduh sepatutnya menghadapi satu lagi pertuduhan di hadapan Majistret A Shaarmini, bagaimanapun kes ditangguh ke 9 September depan untuk memanggil jurubahasa Pakistan.
Shaarmini tidak membenarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh memandangkan pertuduhan belum dibacakan.
Pada 11 Ogos lalu, polis menahan seorang wanita warga emas dan seorang lelaki warga asing semasa mencuri petrol motosikal di sebuah apartment di kawasan Tanjung Kupang, Iskandar Puteri.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan dilaporkan berkata, kejadian itu berlaku semasa seorang wanita berusia 28 tahun dan suami mahu menggunakan motosikal terbabit pada pukul 7.30 pagi.
“Semasa kejadian pengadu bersama-sama suaminya iaitu seorang lelaki warga tempatan berusia 29 tahun ingin menggunakan motosikal mereka.
“Kemudian mereka menyedari kehadiran dua suspek dalam keadaan mencurigakan dipercayai sedang mencuri minyak motosikal milik suaminya,” katanya.
Polis kemudian menangkap lelaki warga Pakistan itu dan seorang wanita tempatan berusia 60 tahun.- MalaysiaGazette
















