JOHOR BAHRU – Seorang pemuda maut selepas motosikalnya melanggar belakang sebuah lori rosak di Kilometer 8.7 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, kejadian tersebut berlaku pada pukul 3.30 petang.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal jenis Yamaha Z150I ditunggang lelaki tempatan berusia 35 tahun itu datang dari arah Johor Bahru ke Senai.
“Motosikal tersebut kemudian hilang kawalan sebelum melanggar bahagian kanan belakang sebuah lori jenis Hino FR1E,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, lori tersebut yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun ketika itu meletakkan lorinya di lorong kecemasan kerana mengalami kerosakan.
Katanya, akibat pelanggaran tersebut penunggang itu mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia hari ini ketika dirawat di hospital.
Pemandu tersebut katanya, tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pihaknya meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes itu agar menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Zulhisyam Aziz 019-7432966.- MalaysiaGazette
















