Bangunan Kementerian Pendidikan Malaysia.

KUALA LUMPUR- Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil perhatian semua syor yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Masyarakat bertujuan untuk memerangi buli di institusi pendidikan.

Ini termasuk cadangan untuk menambah baik saluran aduan buli supaya ia lebih mesra kanak-kanak.

Selain itu katanya, cadangan lain yang turut diteliti antaranya hebahan segera secara meluas berkenaan salah laku buli, menyediakan pilihan untuk membuat aduan secara anonim dan memelihara kerahsiaan maklumat peribadi pelajar.

Jawatankuasa tersebut turut mencadangkan supaya perlindungan kepada pengadu juga perlu dipastikan selain penubuhan jawatankuasa khas anti-buli peringkat sekolah dan penambahbaikan kepada garis panduan pengurusan salah laku buli.

Menurut KPM, semua syor yang dikemukakan oleh jawatankuasa tersebut akan diteliti dan diambil tindakan segera.

“Pada ketika ini, KPM sedang melaksanakan langkah-langkah penambahbaikan bagi memperkukuh aspek keselamatan di semua institusi pendidikan bawah kelolaannya.

“KPM mengalu-alukan cadangan dan sumbang saran dari semua lapisan masyarakat bagi memerangi salah laku buli habis-habisan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah kenyataan itu, pada masa sama, KPM juga sedang mengembleng usaha dan bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan hasrat untuk mewujudkan ekosistem selamat di semua institusi pendidikan tercapai.

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast